Adat Perkahwinan Masyarakat Di Kelantan

Masyarakat Kelantan merupakan antara masyarakat yang mementingkan adat dalam kehidupan mereka lebih-lebih lagi adat yang ditetapkan oleh syarak sama ada dari al-Quran mahupun as-Sunnah. Pun begitu mana-mana adat yang tidak bertepatan dengan syarak Islam akan ditinggalkan. Sebagai contoh adat bersanding atau menepung tawar telah dilenyapkan oleh orang Kelantan kerana dirasakan lari daripada ciri Islamik dan lebih kepada budaya pra-Islamik iaitu Hindu.

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, terdapat banyak pepatah yang menggambarkan betapa pentingnya untuk kita menjaga adat misalnya pepatah yang diamalkan oleh masyarak Minang yang berbunyi “Adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah, syarak mangato adat memakai”. Tidak lama selepas itu, muncul pula pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat”. Jika diperhatikan, pepatah yang diungkapkan oleh masyarakat Minang ini telahpun dilaksanakan oleh Masyarakat Kelantan. Justeru itu, masyarakat Kelantan sangat menjaga adat-adat mereka terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan.

kelantan

Adat-adat perkahwinan yang dititikberatkan oleh masyarakat Kelantan ini bermula sebelum perkahwinan lagi iaitu bermula dengan merisik dan bertunang. Selepas itu, barulah majlis perkahwinan akan dilangsungkan. Manakala, selepas majlis perkahwinan pula akan adanya adat-adat lain yang menjadi tradisi Kelantan seperti adat Mengaellae/Ngaellae, Ngaellae Baessae, majlis Kesyukuran dan Ngennar. Adat-adat ini telah diamalkan sejak turun temurun dan masih dikekalkan sehingga sekarang.

Adat merisik merupakan adat yang mempunyai persamaan dengan adat di negeri-negeri lain dan ianya merupakan sesuatu yang biasa dilakukan oleh masyarakat. Dalam merisik ini wakil daripada pihak lelaki akan datang menziarah ke rumah peremuan yang ingin dipinang. Tujuan merisik ini adalah untuk memastikan bahawa perempuan yang ingin dipinang masih bujang dan bukan milik orang. Adakalanya, pihak lelaki akan menghadiahkan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

risik

Selepas merisik selesai, pihak lelaki seterusnya akan menghantar rombongan meminang ke rumah pihak perempuan yang telah dirisik. Pun begitu, terdapat sesetengah keluarga yang tidak mengadakan majlis pertunangan kerana mereka terus melangsungkan perkahwinan. Pun begitu, majlis pertunangan ini tetap ada di Kelantan bahkan, ianya diadakan dengan meriah dan lengkap dengan hiasa ala-ala pelamin.

pelamin_tng

Namun, kebiasanya, majlis pertunangan di kelantan akan diadakan biasa-biasa sahaja dan mungkin sama dengan negeri lain. Cuma, yang berbeza mungkin hadiah pertunangannya sahaja yang mana masyarakat Kelantan lebih mengutamakan barangan berbanding makanan sepertimana yang diamalkan di negeri-negeri lain misalnya disebelah utara.

tunang

Seterusnya adalah adat perkahwinan, bagi masyarakat Kelantan ‘hantaran’ pengantin perempuan biasanya akan dalam akad nikah sekali dengan mas kahwin yang telah ditetapkan nilainya mengikut negeri. Hantaran untuk pengantin perempuan adalah ahak milik pengantin yang tidak boleh disentuh sama sekali untuk dijadikan sebagai ‘belanja kahwin’ melainkan ianya mendapat persetujuan daripada pengantin perempuan.

kahwin-kelantan

hntrn_kahwin

Dalam erti kata lain, hantaran dan belanja kahwin masyarakat Kelantan adalah dua perkara yang berbeza. Selepas majlis akad nikah, biasanya akan diadakan majlis makan-makan atau dipanggil baekwoh dalam dialek Kelantan. Apa yang istimewanya perkahwinan di Kelantan ini, perbelanjaan baekwoh tidak ditanggung sepenuhnya oleh pengantin lelaki dan kalau bernasib baik, pihak pengantin lelaki tidak perlu mengeluarkan kos untuk perbelanjaan ini. Hal ini kerana, perbelanjaan baekwoh ini biasanya akan ‘dicover’ dengan acara-cara dalam adat yang seterusnya.

Seperti yang disebutkan tadi, akan adanya adat-adat lain selepas majlis perkahwinan yang mana melalui adat inilah belanja baekwah akan ‘dicover’. Adat yang dimaksudkan ialah adat ‘Mengaellae’ yang disebut dalam dialek Kelantan yang mana tetamu akan datang membawa duit sebagai hadiah untuk pengantin atau dalam dialek Kelantannya disebut duit ngaellae. Jumlah duit yang biasa diberikan oleh tetamu ini antara RM10 hingga RM50. Adat ini merupakan adat yang paling biasa diamalkan dan masih kekal sehingga sekarang. Duit ngaellae ini biasanya akan diberi terus kepada ibu atau bapa pengantin perempuan.

ngaellae

Adat selepas kahwin yang seterusya ialah ‘Nagaellae Baessae’. Dalam adat ini Besan akan saling memberikan duit belanja kahwin berdasarkan jumlah tetamu yang akan dijemput oleh kedua-dua pihak. Dalam kata mudah, kedua-dua pihak akan saling menanggung kos majlis kahwin mereka.

Adat perkahwinan Kelantan yang seterusnya ialah majlis kesyukuran yang mana tetamu dijemput untuk dijamu dan diraikan sahaja. Dalam majlis kesyukuran ini tetamu tidak digalakkan untuk menghulur duit ngaellae dan sekiranya dihulurkan juga, tuan rumah akan menolak dengan baik kerana ianya merupakan majlis kesyukuran dan bukannya ‘Mengaellae’.

kesyukuran

Dalam majlis kesyukuran ini, perbelanjaannya bebas untuk ditanggung oleh sesiapa sama ada ditanggung oleh ibu bapa atau pengantin itu sendiri dan akadala, ditanggung oleh pihak yang ingin mengadakan sahaja. Walaupun begitu, penduduk kampung biasanya akan membawa hadiah berupa barangan kepada pengantin seperti gula, susu ataupun beras. Majlis kesyukuran ini dikatakan semakin popular dan sering diadakan sama ada di pihak lelaki mahupun perempuan. Biasanya, majlis kesyukuran ini akan diketahui melalui kad jemputan yang diedarkan

Selain itu, terdapat juga adat ‘Ngennar’ iaitu memperkenalkan pengantin kepada tetamu yang datang semasa majlis kenduri berlangsung. Dalam adat ini, tetamu akan bersalaman dengan pengantin dan menyelitkan sampul berisi duit kepada pengantin untuk tujuan perbelanjaan kenduri kahwin dan biasanya duit yang diberikan tidak digalakkan untuk dijadikan sebagai simpanan peribadi pengantin. Adat ini boleh dikatakan sama dengan adat ‘ngaellae’.

Melalui adat-adat yang diamalkan di Kelantan ini, dapat disimpulkan bahawa adat perkahwinan Kelantan ini adalah bertujuan untuk memudahkan proses nikah kahwin di samping bertujuan untuk menjaga hubungan baik antara keluarga pihak lelaki dengan keluarga pihak perempuan. Adat-adat ini juga menjadi simbolik bahawa masyarakat Kelantan tidak ingin menimbulkan sangkaan ‘jual mahal’ ataupun ‘jual anak’. Hal ini kerana, masyarakat Kelantan berusaha untuk memudahkan urusan nikah kahwin tanpa membebankan pihak lelaki. Bagi masyarakat Kelantan, perbelanjaan kahwin harus dikongsi dan saling menanggung untung rugi antara kedua-dua pihak pengantin.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.