Api ‘Misteri’ Punca Rumah Pusaka Terbakar?-Kampung Bunga Emas,Penambang

Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman pusaka lebih 10 tahun lalu yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bunga Emas di Penambang, Kota Bharu.

image_1

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi, mangsa Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 19, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja hendak ke bilik air untuk mandi.

“Kebakaran berlaku begitu pantas dan saya hanya menyedari api bermula di kawasan bilik tidur tengah.

“Ketika itu api sudah marak dan saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu berteriak ‘api’ ‘api’ dan cuba menyelamatkan diri disamping turut menyelamatkan nenek yang ketika itu sedang menunaikan solat Dhuha.

Menurut Wan Nur Fatihah lagi, dia hanya sempat melarikan diri bersama neneknya, Zainab Sulaiman, 80, dan adiknya, Wan Nur Fatini, 17 namun kesemua barangan rumah gagal diselamatkan.

“Saya tidak tahu api berpunca dari apa. Memang agak terkejut api merebak cepat dan memusnahkan kediaman kami dan pada masa yang sama juga turut membakar bumbung rumah jiran,” katanya.

api

Wan Nur Fatihah berkata, dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca dari api misteri yang sebelum ini pernah berlaku di kediamannya sejak tahun 2010 namun tidak lagi mengganggu keluarga itu lebih dua tahun lalu.

“Saya amat sedih dengan kejadian ini. Mungkin gangguan itu kembali selepas kami sekeluarga panggil ustaz untuk buat doa selamat. Kali ini ianya berlaku lagi dan mengganggu keluarga saya,” katanya sebak.

Seorang lagi mangsa, Zaki Mohamad, 40, berkata, kedimannya juga hampir 100 peratus musnah dan dia hanya mampu selamatkan kenderaan termasuk kereta dan motosikal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya sampai kira-kira 10 minit selepas terima panggilan.

“Ketika sampai kediaman sudahpun terbakar hampir 90 peratus walaubagaimanapun kita berjaya menyelamatkan lebih empat rumah yang berdekatan tempat kejadian.

“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan dan kita serahkan kepada unit forensik bomba untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber:Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.