Asal Usul Kampung Pak Kiang

Kampung Pak Kiang yang terletak berdekatan dengan Kampung Keluang turut dikenali sebagai perkampungan masyarakat Siam yang terbesar di daerah ini sejak sekian lama. Namun begitu, generasi hari ini termasuk masyarakat Siam sendiri tidak ramai yang mengetahui akan asal-usul dan sejarah pembukaan kampung tersebut.

Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Malaysia Cawangan Terengganu, Siri Neng Buah berkata, perkampungan Siam itu dibuka pada 1890-an oleh datuknya, Nai Deng Suksai iaitu antara tahun 1890 dan 1891. Menurut beliau lagi yang juga merupakan bekas Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, datuknya berasal dari Tak Bai yang ketika itu masih di bawah kekuasaan Kelantan.

“Selepas kira-kira empat tahun membuka perkampungan ini, datuk saya dilantik sebagai salah seorang dalam kepimpinan lama daerah Besut.

pak

“Raja Besut ketika itu melantik beliau sebagai Kapitam Siam dan digelar Tok Long Merah,” katanya yang juga merupakan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (Wakoh).

Menurut beliau lagi, masyarakat Melayu setempat pula menggelari datuknya dengan nama Tok Pawah dan beliau pernah ditugaskan sebagai jurubahasa antara pegawai tinggi kerajaan Siam dengan Tok Bahaman dan Mat Kilau.

Menurut Siri Neng Buah, asal Kampung Pak Kiang adalah Kampung Kijang yang mendapat nama berikutan usaha penduduk pada waktu itu untuk menangkap seekor kijang yang masuk ke kampung tetapi tidak berjaya, namun lama-kelamaan,, panggilan nama kampung itu ditukar kepada Pak Kiang iaitu nama sejenis tumbuh-tumbuhan yang juga berasal daripada bahasa Melayu.

Menurutnya, selepas kampung tersebut dibuka Tok Pawah, masyarakat Siam dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan yang menjadi pelarian ketika Perang Tok Janggut sekitar 1915 turut berhijrah ke kampung berkenaan.

“Ramai yang meninggalkan perkampungan mereka di Semerak disebabkan tentera British ingin mendarat di situ telah melepaskan tembakan meriam ke arah perkampungan terbabit, lalu mereka mendapatkan perlindungan di sini.

“Salah seorang daripada mereka telah berkahwin dengan Tok Pawah iaitu Tok Kenuan yang merupakan nenek saya,” katanya.

Selain melarikan diri ke Kampung Pak Kiang, ada juga masyarakat Siam Semerak yang lari ke Kampung Bukit Yong dan Kampung Seligi yang terletak di Pasir Putih.

Siri Neng Buah yang kini menjangkau usia 60-an berkata, Kampung Pak Kiang turut dibangunkan oleh masyarakat Siam Cina hasil perkahwinan seorang lelaki Cina keturunan China Hainan (Cina Kampung), Lim Po Yong atau lebih dikenal sebagai Tok Pohyong yang sebelum itu menetap di Kampung Beting Lintang sempadan Besut dan Setiu.

Menurutnya, Po Yong merupakan seorang peraih hasil pertanian terkenal di Beting Lintang telah bertemu jodoh dengan seorang wanita berketurunan Siam (adik Tok Pawah) dan mereka berpindah ke Kampung Pak Kiang menyebabkan sehingga sekarang ramai generasi baharu masyarakat campuran Siam Cina di sini.

“Waktu itu, semua masyarakat berketurunan Siam yang berada di kampung ini tidak mahu lagi untuk kembali ke kampung asal mereka kerana mereka mudah mencari rezeki di sini memandangkan terdapat dua sungai berhampiran iaitu Sungai Keluang Kecil dan Besar yang membolehkan mereka untuk melakukan aktiviti menangkap ikan dengan banyak.

“Tanah yang subur pula membolehkan mereka melaksanakan sistem pertanian sara diri seperti menanam padi, kelapa, tembakau selain terdapat binatang buruan seperti babi hutan yang banyak,” katanya.

Katanya, masyarakat ketika itu turut membela ayam, lembu dan kerbau, namun penduduk Siam di kawasan tersebut tidak menternak babi kerana memahami sensitiviti orang Melayu.

Sementara itu, sepupu Siri Neng Buah yang juga timbalan pengerusi persatuan itu, Enoi Chan Noi berkata, jumlah masyarakat Siam di situ telah bertambah dan generasi muda kini telah melakukan pelbagai pekerjaan.

Menurutnya, ramai generasi muda Siam ini terlibat dalam bidang perniagaan seperti mengusahakan kedai tayar, mekanik kenderaan, kedai ekzos dan pelbagai lagi selain ada yang berhijrah ke bandar besar.

“Sekarang ada 52 rumah masyarakat Siam membabitkan keseluruhan 223 orang kesemuanya berbanding hanya 13 rumah pada 60-an dulu,” katanya.

Kata Enoi lagi, dari aspek semangat kejiranan, hubungan antara masyarakat Melayu dan Siam sangat rapat, umpama isi dengan kuku.

“Masyarakat Siam menganggap masyarakat Melayu seperti keluarga mereka sendiri, malah orang Melayu memanggil masyarakat Siam yang lebih tua dengan panggilan hormat seperti Pak Long, Mak Long, dan sebagainya.

“Dari segi budaya, masyarakat Siam Kampung Pak Kiang gemar menggayakan pakaian harian masyarakat Melayu. Misalnya, golongan lelaki Siam akan memakai baju Melayu dan berkain pelikat, manakala golongan wanita Siam akan memakai baju kurung dan berkain batik,” katanya.

Menurut Enoi, Kampung Pak Kiang yang dikelilingi perkampungan Melayu merupakan satu-satunya perkampungan masyarakat Siam terbesar di negeri ini. Dua lagi perkampungan Siam di daerah ini ialah di Kampung Batu Bala, Renek dekat Jabi dan Kampung Tok Motong sempadan Besut Pasir Putih.

Sumber:Sinar Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.