Asal Usul Mak Yong Di Kelantan

Sejarah awal mengatakan bahawa Mak Yong berasal dari Pattani dan merupakan budaya Pattani yang sangat indah. Namun, tidak dapat dipastikan tarikh serta pengasas asal Mak Yong dan dikatakan Mak Yong berkembang masuk ke Kelantan lebih 200 tahun yang lalu. Di Pattani, seni Mak Yong yang halus serta indah ini telah mengalir dalam diri setiap rakyat Pattani dan diwarisi dari generasi ke generasi. Mak yong kemudiannya turut memasuki negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan perlis bahkan turut sampai ke negara Indonesia.

mak yong

Untuk pengetahuan pembaca orang kelantan.com, Mak Yong merupakan seni tari yang menggabungkan unsur-unsur ritual dan lakonan serta vokal musik dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Mak Yong ini juga dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi dan dipentaskan di pementasan Diraja di bawah naungan kesultanan Kelantan sehingga tahun 1920-an. Kebiasaanya, pembukaan persembahan seni tari Mak Yong akan dimulai dengan persembahan lagu ‘Mengadap Rebab’ yang seterusnya akan diikuti dengan lagu, lakonan dan tarian.

rebab

Ada sesetengah sejarawan telah memberikan pandangan mereka tentang maksud perkataan Mak Yong. Watak utama dalam Mak Yong dipegang oleh wanita yang mana lebih sinonim dengan perkataan ‘Mak’. Manakala, ‘Yong’ bermaksud pahlawan dalam bahasa Pattani lama. Gabungan kedua perkataan ini terhasilnya Mak Yong. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada seni persembahan Mak Yong berasal daripada rakyat ataupun raja.

Apa yang pasti, Mak Yong ini dipersembahkan dalam istana sehingga tahun 1920 dan sering juga dipertontonkan kepada orang ramai dalam majlis-majlis tertentu. Mak Yong juga turut dikaitkan dengan dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang dan ada juga yang percaya bahawa tarian ini dicipta oleh makhluk yang dikenali sebagai Semar.

seni tari

Alat muzik yang biasa digunakan dalam persembahan Mak Yong ialah Rebab, dua biji Gendang ibu dan anak, dua biji Gong ibu dan anak, serta biola untuk mengiringi tarian dan joget para penari Mak Yong. Penari mak Yong juga akan mengenakan pakaian yang berhias cantik. Setiap satu persembahan biasanya akan memakan masa selama tiga jam yang berterusan untuk beberapa malam kerana jalan cerita Mak Yong merupakan cerita yang agak panjang.

Tema yang biasa digunakan dalam Mak Yong ialah mitos percintaan anak-anak raja dan dewa-dewa, kisah pengembaraan dan juga kehidupan di istana. Sesetengah masyarakat juga menganggap cerita Mak Yong ada kaitan dengan alam dunia dan alam ghaib yang mana penonton akan dibawa untuk meneroka kehidupan di bumi, di laut dan di kayangan. Masyarakat Kelantan percaya, Mak Yong sering menyelitkan peristiwa-peristiwa ghaib tentang dewa-dewa dan pengembaraan mereka.

pakaian

Namun begitu, keindahan dan kelembutan yang ada pada Mak Yong kian merosot. Mak Yong sering dipersembahan untuk hiburan semata-mata tanpa mementingkan nilai moral mereka. Pengaruh budaya Barat dalam Mak Yong menyesakkan lagi persembahan Mak Yong yang dulunya sangat mementingkan nilai kebudayaan mereka. Masyarakat juga sering memandang serong terhadap penari Mak Yong dirasakan tidak lagi menjaga nilai moral mereka. Hal ini, mempercepatkan lagi kejatuhan nilai Mak Yong yang pernah menjadi kebanggaan Kelantan dan Pattani suatu masa dahulu.

moral

Seni tari Mak Yong ini juga semakin tenggelam kerana tidak ramai anak muda yang berminat untuk mempelajari seni tarinya. Menyedari akan kepentingan untuk memelihara warisan tradisi ini serta memulihkan kembali pandangan negatif masyarakat terhadap penari Mak Yong, terdapat pihak-pihak yang berusaha sekerasnya untuk menghidupkan kembali nilai seni asli dalam persembahan Mak Yong. Seni tari Mak Yong ini juga diharapkan dapat dikembangkan kepada generasi yang akan datang khususnya dalam masyarakat Kelantan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.