Banjir 2014 Di Kelantan Tidak Dapat Dilupakan

Pada tahun 2014, Kelantan menghadapi banjir yang terbesar berbanding 2004. Sementelah, sesetengah tempat ianya boleh dianggap seumpama banjir besar 1967. Lantaran banjir yang melanda ini, terdapat pelbagai teori yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak. Ada yang mengatakan bahawa banjir yang berlaku berpunca daripada aktiviti pembalakan yang teruk, pembangunan ladang yang menggondol tanah dan hutan serta penularan penerokaan hutan secara haram.

tenggelam

Selain itu, ianya turut dikaitkan dengan pembalakan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, kawasan tanah tinggi Lebir, Galas dan kawasan bersempadan dengan Pahang dan Terengganu. Pun begitu, perkara ini disangkal oleh Menteri Besar Kelantan yang mengatakan sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya telah mematuhi kuota tahunan seluas 5,960 hektar setahun yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara. Ditambah dengan kerja-kerja pembalakan yang telah dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi.

banjir2

Malah banjir 2014 yang melanda kelantan ini dikaitkan dengan hujan lebat yang luar biasa berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Kesan daripada hujan yang agak lebat selama empat hari ini menyebabkan kira-kira 85 peratus kawasan Gua Musang dan Kuala Krai mengalami banjir dengan arus air yang deras (akibat air hujan berdensiti tinggi dari Gunung Gagau, Aring, Laloh dan Gua Musang). Banjir 2014 ini juga telah meyebabkan banyak kerosakkan harta benda seperti rumah-rumah, prasarana, tanaman dan sebagainya.

image

Sementara itu, keadaan sungai-sungai di Kelantan yang terletak di kawasan lembah juga turut dikatakan menjadi punca kepada banjir yang berlaku. Ditambah lagi di bahagian utara Kelantan yang menempatkan Sungai Golok sering melimpah menyebabkan berlakunya banjir di utara Kelantan iaitu kawasan Jeli, Rantau Panjang dan Pasir Mas. Selain itu, banjir di Kelantan ini juga dikaitkan dengan Kedudukan empat jajahannya, iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat yang sememangnya menghadap Laut China Selatan yang mana keadaan ini menyebabkan setiap tahun Kelantan terdedah kepada tiupan angin monsun Timur Laut sekitar bulan Oktober-Disember. Musim monsun ini dikenali sebagai musim tengkujuh bagi penduduk Kelantan, yang menurunkan hujan lebat dan berlakunya banjir.

Banjir kel

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, jumlah anggaran kerugian akibat banjir ini, umumnya bersetuju melebihi RM 1 billion setelah mengambil kira jumlah kerosakan di sektor perladangan, kebun kecil getah, ternakan, masjid dan surau serta bangunan dan harta awam. Kesemua kerosakan dan kesan banjir 2014 di negeri Kelantan adalah antara yang terbesar dan rakyat Kelantan mengalami banyak kerugian akibat bencana alam tersebut. Walau apa pun, banjir merupakan benca alam yang berlaku atas ketentuan tuhan yang perlu diterima dengan redha.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.