Bank Pitis Tertua Di Kelantan Dan Pohon Duit Sebagai Ufti Kepada Siam

Bank Pitis merupakan salah satu sejarah yang menarik yang terdapat di Kelantan yang tidak seharusnya dilupakan. Bank ini merupakan bank tertua dan terletak di luar pintu masuk Istana Balai Besar, Kota Bharu. Bank ini telah dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III sekitar tahun 1889-1890. Tujuan pembinaan bank ini khas untuk menyimpan wang atau pitis yang disebut dalam dialek Kelantan. Pitis-pitis yang disimpan ini adalah untuk perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.

bentuk bank

Sejarah Bank Pitis ini sangat menarik untuk kita terokai kerana ianya merupakan jati diri Kelantan yang perlu dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman. Apa yang menarik tentang bank ini ialah tentang binaannya yang berbentuk empat segi sama yang berukuran 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi. Kayu cengal telah dipilih untuk dijadikan daun pintu bersama tiga penyelak kunci yang diperbuat daripada besi. Semasa pemerintahan Sultan Muhammaad IV, baginda telah menghantar Pohon Duit kepada Raja Siam yang mana pada masa ini Kelantan masih lagi di bawah perlindungan Siam. Pohon Duit atau dikenali juga sebagai Pohon Pitis tersebut dihantar sebagai ufti kepada Siam.

penyelak

Pohon Pitis ini telah dicipta dengan menggunakan acuan yang telah dibawa oleh pedagang Cina ke Tanah Melayu. Logam timah merupakan bahan utama dalam menghasilkan Pohon Pitis dan mengandungi 13 syiling. Pitis ini digunakan sebagai matawang oleh penduduk Kelantan sehingga tahun 1920. Terdapat tulisan Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321 yang bulan Zulhijjah 1903 di bahagian hadapan muka syiling tersebut manakala di bahagian belakang pula tertulis perkataan Belanjaan Kelantan. Tulisan tersebut ditulis sebagai tanda pengesahan bahawa pitis tersebut merupakan matawang rasmi kerajaan Kelantan.

pitis kelantan

Pohon pitis ini dihasilkan lengkap dengan ranting dan batang. Manakala, pitis pula diibaratkan sebagai daun dan ianya hanya akan dipatahkan oleh pemiliknya untuk urusan jual beli. Pitis ini berbentuk bulat dan berlubang ditengahnya. Pada masa ini nilai-nilai pitis tersebut sangat tinggi dan mampu membeli barang keperluan dengan lengkap jika dibandingkan dengan sekarang yang mana ianya dilihat seolah-olah tidak lagi mempunyai nilai. Pohon pitis ini juga menjadi lambang kekayaan pada yang memilikinya.

pohon pitis

Dengan terhasilnya pitis inilah tertubuhnya Bank Pitis yang dianggap berprestij pada masa itu kerana struktur pembinaannya yang terbentuk daripada konkrit dan menggunakan teknologi asing yang tiada di Kelantan. Bank pitis sangat masyhur dalam kalangan rakyat Kelantan dengan pelopor utamanya Sultan Muhammaad III. Sehingga kini, bank tersebut masih lagi wujud ditengah-tengah bandar Kota Bharu dan dijaga rapi oleh pihak yang bertanggungjawab. Semestinya, bank yang menyimpan banyak sejarah Kelantan ini wajar dipelihara kerana bank ini merupakan bank tertua negeri Kelantan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.