Batu Balai laluan Jepun Ke Markas

Kampung Batu Balai merupakan salah satu kampung yang terdapat di daerah Kuala Krai. Nama Batu Balai ini dipetik daripada hasil penemuan sebuah batu yang agak besar dan hidup bersendirian di kawasan itu. Ukuran panjang batu tersebut lebih kurang sedepa dan dikenali sebagai ‘batu balai’ oleh penduduk kampung kerana keluasan permukaan batu tersebut yang boleh memuatkan lebih kurang 4 hingga ke 5 orang dalam satu masa. Daripada penemuan itulah wujudnya nama Kampung Batu Balai. Namun begitu, ‘batu balai’ pada hari ini tidak lagi seperti dulu yang mana kedudukannya yang semakin tenggelam dan landai disebabkan oleh perubahan alam.

batu

Hasil penemuan batu yang besar ini turut menyebabkan menularnya kepercayaan tahyul bahawa batu tersebut mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh penduduk kampung. Sekiranya sakit mereka sembuh, maka panji akan diletakkan di batu ini. Menurut cerita daripada seorang penduduk asal kampung tersebut, beliau mengatakan bahawa, Batu Balai itu ditemui oleh peneroka awal kampung tersebut iaitu Dameh bin Muda bersama Tok Hamat dan Tok Jenal yang telah menamakan kampung tersebut sebagai Batu Balai. Rumah-rumah telah didirikan dan aktiviti menanam padi telah dimulakan oleh mereka. Sebahagian daripada kampung tersebut juga turut dijadikan sebagai tanah perkuburan.

hutan

Mereka bertiga merupakan generasi pertama yang mewujudkan kampung ini bahkan sebelum penjajahan Inggeris di Tanah Melayu lagi. Seterusnya, kampung ini diteroka lagi oleh generasi kedua selepas perang Dunia Kedua iaitu Che Lah Sallah dan Hamat Dollah. Turut didakwa sebelum penemuan ‘batu balai’, nama asal kampung ini dikenali sebagai Sungai Pangang atau Sungai Pange dalam dialek Kelantan. Nama ini diambil kerana penduduk asal kampung ini merupakan orang asli yang berketurunan Pangang. Hutan di kampung ini dulunya merupakan sebuah hutan yang tebal dan dihuni oleh pelbagai binatang liar seperti harimau dan gajah.

hutan tebal

Ketika zaman penjajahan Jepun, nama Kampung Batu Balai ini telah dimuatkan dalam peta tentera Jepun. Mereka menjadikan Kampung Batu Balai ini sebagai laluan untuk ke markas mereka di Kuala Krai. Menurut sejarah generasi dulu, Jepun tidak menjadikan kampung ini sebagai markas mereka tetapi hanya sekadar laluan singkat untuk ke markas mereka yang sebenar. Kampung Batu Balai pada masa ini merupakan kawasan penanaman padi yang sangat subur dan ketika penjajahan Jepun, penduduk kampung memakan hasil padi mereka yang telah disorokkan ketika waktu darurat.

laluan jepun

Antara kampung lain yang ditempatkan di bawah Kampung Batu Balai ialah Kampung Belukar Tebu, Paloh, Bukit Batu, Bukit Jambu, Tengah dan Surau. Kampung Belukar Tebu ini juga turut dijadikan laluan singkat Jepun untuk ke Kuala Krai namun tidak pernah dijadikan sebagai markas mereka. Pada hari ini, perbincangan antara pihak bertanggungjawab untuk memelihara kampung ini terutamanya batu yang dipercayai menjadi asas kepada nama Kampung Batu Balai ini agar nama kampung ini tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.