Benarkah Cerita Mengenai Kampung ‘Anak Derhaka’ Di Rantau Panjang, Kelantan

Cerita dari mulut ke mulut ini mengatakan tentang sejarah asal-usul nama Kampung Lubok Jong yang dikatakan bermula dengan peristiwa seorang lelaki bernama Awang Buntal yang mengemudi kapal laut China.

image

Seorang penduduk yang ditemui, Nik Lah Nik Soh, 74, berkata, beliau sendiri tidak mengetahui tentang kesahihan cerita tersebut yang disampaikan secara turun-temurun oleh golongan orang-orang lama di kampung berkenaan dan ada sesetengah masyarakat menganggapnya sebagai mitos semata-mata.

Menurutnya, cerita tersebut seakan-akan sama dengan dongeng Si Tanggang yang popular suatu masa dahulu yang mana seorang anak ditimpa malapetaka akibat menderhaka kepada ibunya.

“Mengikut ceritanya, kemiskinan hidup telah menyebabkan Awang Buntal mengambil keputusan untuk mengembara ke luar negeri dan meninggalkan kedua ibu bapanya, iaitu Pak Buntal dan Mak Buntal.

“Beberapa lama setelah pemergiannya, Awang Buntal telah berjaya mengecap kemewahan dan bergelar saudagar yang amat kaya,” katanya.

Foto

Nik Lah menceritakan, Awang Buntal kembali ke kampung halamannya dengan mengemudi kapal laut China dan berlabuh di lubok berdekatan kampung berkenaan.

Katanya, apabila ibu bapa mendapat tahu anaknya telah kembali, Mak Buntal dan Pak Buntal segera mencari awang Buntal di sungai berkenaan dan mereka berasa gembira apabila melihat sebuah kapal laut China yang besar dari jauh.

“Bagaimanapun harapan Mak Buntal dan Pak Buntal hancur apabila Awang Buntal tidak lagi mengakui kedua mereka sebagai orang tuanya apatah lagi dia tergamak menghalau keduanya pergi.

“Balasan akibat menderhaka kepada orang tuanya, ribut yang kuat telah melanda kawasan berkenaan dan tidak lama selepas itu telah berlaku satu panahan kilat dan mengenai kapal laut Awang Buntal yang menyebabkan berlakunya kebakaran besar,” katanya.

The_bedar

Menurut cerita Nik Lah lagi, sebahagian daripada kapal Awang Buntal telah tenggelam dan hanya jong atau kepala kapal yang berjaya diselamatkan oleh penduduk sebelum ianya turut tenggelam beberapa jam selepas kebakaran.

Tambah Nik Lah, cerita misteri di sebalik peristiwa itu mungkin sekadar dianggap mitos oleh masyarakat kelantan, namun terdapat penduduk yang mendakwa melihat bayangan jong tenggelam timbul sepertimana terdapat dalam cerita berkenaan.

“Berikutan peristiwa yang berlaku itu jugalah, kampung ini telah diberi nama bersempena kapal yang berlabuh berdekatan lubok dan jong yang terbakar,” katanya.

Sumber:Sinar Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.