Bendera Dan Jata Lambang Keagungan Kelantan

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, bendera dan juga jata merupakan sesuatu lambang kepada kemasyhuran negeri yang didiami. Setiap negeri pastinya mempunyai bendera mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan Kelantan, disaat bendera gah berkibar di udara, rasa bangga menjadi anak Kelantan akan turut menyelubungi sanubari dan disaat itu juga rasa hormat, cinta dan kasih akan negeri Kelantan akan turut terkibar sama.

kelantan

Tahukah anda mengenai lambang-lambang disebalik bendera Kelantan?. Setiap lambang yang terukir di bendera dan jata negeri Kelantan ini mempunyai maksudnya yang tersendiri dan bendera ini direka khas mengikut hasrat pemerintah dan dipersetujui oleh ahli ulama dan wakil rakyat yang lain. Rekaan bendera ini sangat penting dalam setiap negeri kerana ianya merupakan simbol dan lambang kepada negeri yang diperintah.

lambang

Bendera Kelantan telah ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Ismail pada tahun 1922 yang menggantikan bendera lama. Terdapat beberapa lambang dalam bendera ini dan setiap lambangnya mempunyai makna yang tersendiri. Warna merah telah menjadi latar belakang bendera Kelantan dan warna merah ini merupakan lambang kejujuran rakyat, pembesar dan raja kepada negeri.

Manakala, warna putih pula sebagai lambang kesucian jiwa raja yang memerintah. Bulan sabit dan bintang yang ada di bendera merupakan simbol Islam sebagai agama rasmi negeri Kelantan. Tombak dan keris pula sebagai lambang kekuatan dan kegagahan orang-orang Melayu di negeri Kelantan.

bendera

Bendera yang ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Ismail ini telah menggantikan bendera lama yang digunakan semenjak zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV. Seperti yang kita sedia tahu, bendera lama telah digunakan sebagai lambang panji-panji negeri Kelantan. Bendera ini direka melalui kaligrafi ayat-ayat al-Quran yang seakan-akan membentuk seekor harimau.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak tertentu, panji-panji ini dikenali sebagai Nasrun Min Allah dengan petikan ayat ke-13 dalam surah al-Saff yang berbunyi…Pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”

lama

Begitu juga dengan penciptaan jata negeri. Jata negeri ini biasanya digunakan pada dokumen-dokumen kerajaan. Dengan adanya lambang jata ini, maka sesuatu dokumen itu akan dianggap sebagai dokumen rasmi. Simbol-simbol yang ada pada jata ini juga mempunyai maksud tersiratnya yang tersendiri.

Mahkota yang ada dalam jata ini melambangkan kedaulatan Kelantan. Dua ekor kijang pula sebagai lambang ingatan kepada raja perempuan Kelantan yang pertama iaitu Cik Siti Wan Kembang yang pernah menjadikan kijang sebagai haiwan peliharaan baginda.

jata

Lambang anak bulan dan bintang juga merupakan merupakan simbol Islam sebagai agama rasmi negeri. Dua tombak dan dua keris bermaksud kekuatan dan kegagahan orang Melayu Kelantan. Manakala, dua laras meriam bermaksud negeri ini sentiasa dalam keadaan sedia untuk mempertahankan diri daripada segala ancaman.

Tulisan jawi yang ada pada jata ini pula bermaksud “Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan”. Bendera dan jata negeri Kelantan ini sememangnya dua perkara yang menjadi kebanggaan kerana ianya menggambarkan kedaulatan raja-raja yang memerintah dan simbol kepada negeri Kelantan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.