Cerita Yang Tersimpan Disebalik Bachok, Kelantan

Bachok merupakan salah satu jajahan yang terdapat di Kelantan yang terletak di sebelah barat daya kira-kira 35 kilometer dari Kota Bharu. Bochok juga turut terkenal sebagai perkampungan nelayan. Menurut cerita penduduk setempat, nama Bachok ini dikatakan berasal daripada dua perkataan Siam iaitu ‘ban’ and ‘chak’.

Bachok.8

Perkataan ‘ban’ bermaksud kampung manakala, ‘chak’ pula bermaksud nipah yang pada asalnya dikatakan merujuk kepada Kampung Nipah, iaitu satu perkampungan yang jauh lebih padat penduduknya yang terletak di selatan bandar Bachok sekarang. Berkemungkinan, bandar Bachok merupakan sebahagian daripada Kampung Nipah.

bachok

Lama-kelamaan nama Ban Chak telah berubah sebutannya kepada Bachok kerana ianya lebih sesuai dengan lidah Melayu dan senang disebut. Pun begitu, orang Siam tempatan yang kebanyakannya tinggal di Kampung Balai, lebih kurang tiga kilometer ke utara bandar Bachok pada hari ini masih lagi memanggil Bachok sebagai Ban Chak atau Kampung Nipah.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa perkataan Bachok juga berasal daripada sebutan ‘ban’ dan ‘Choh’ yang juga disebut oleh orang Siam yang datang menetap di kawasan itu. Maksud perkataan ‘ban’ adalah sama seperti yang disebutkan di atas. Tetapi, maksud perkataan ‘choh’ disini ialah jala atau jaring untuk menangkap ikan. Orang Siam pada masa itu, memanggil tempat tersebut sebagai Ban Choh kerana mata pencarian penduduknya tertumpu kepada aktiviti menangkap ikan. Sebutan Ban Choh juga akhirnya bertukar menjadi Bachok.

Kemayang-2

Di Bachok ini juga terdapat tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Pantai Irama dan Pantai Kemayang. Pantai Irama terkenal sebagai pusat pelancogan pantai yang utama bukan sahaja di Bachok malahan di di negeri Kelantan bahkan, turut dikenali oleh penduduk negeri-negeri lain.

image

Manakala, Pantai Kemayang yang terletak di Mukim Kemasin, Tawang pula merupakan satu kawasan yang sering menjadi tumpuan ramai. Di pantai ini, pengunjung berpeluang melihat bot-bot nelayan yang keluar masuk untuk menghantar hasil tangkapan ikan.

Kemayang

Di kedua-dua pantai ini turut disediakan kemudahan-kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung. Kemudahan yang disediakan termasuklah tandas awan, surau dan juga gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan yang berasaskan makanan laut. Dalam erti kata lain, Bachok merupakan salah satu jajahan yang menarik yang boleh dikunjungi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.