Dabong, Khazanah Alam Semulajadi Di Kelantan

Dabong merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 160 km ke barat Kota Bharu. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Dabong dikelilingi hutan tropika yang menghijau serta sesuai untuk aktiviti rekreasi terutamanya bagi anda yang berminat mendaki gunung, meneroka gua, berakit di arus deras dan jeram. Dabong ini boleh dikatakan sebagai alam kayangan bagi mereka yang mencintai keindahan alam semulajadi.

dabong

Gunung Stong yang terletak di kawasan Dabong ini juga mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara yang mana terjunannya adalah kira-kira 297 meter. Gunung Stong ini amat sesuai bagi mereka yang meminati aktiviti pendakian yang penuh dengan cabaran alam semulajadi. Gunung ini juga amatlah sesuai bagi mereka yang sukakan kedamaian alam semulajadi dan pastinya panorama di gunung ini akan mempesonakan setiap mata yang memandang. Di kawasan ini juga terdapat banyak flora dan fauna yang unik dan jarang dijumpai di tempat lain.

stong

Di Dabong ini juga turut mempunyai gua-gua yang unik dan menarik seperti Gua Ikan, Gua Gelap, Gua keris dan Gua Pagar. Gua-gua ini pastinya akan membuatkan anda teruja untuk menerokainya. Pastinya kenangan ketika berada disini tidak dapat dilupakan seumur hidup bahkan ianya akan tetap tersimpan sebagai kenangan termanis dalam hidup. Gua-gua yang disebutkan tadi juga amat sesuai untuk diterokai oleh mereka yang sukakan cabaran.

ikan01

gua pagar

Gua-gua di kawasan Dabong ini mempunyai keunikkannya yang tersendiri. Gua Ikan dikatakan mendapat nama sempena adanya batu yang menyerupai ikan di kawasan itu. Menurut mitos, dahulunya terdapat banyak ikan di dalam gua tersebut. Gua Gelap atau dikenali juga sebagai Gua Batu Susun memperoleh nama daripada pelbagai jenis bentuk batu yang tersusun di sepanjang laluannya. Pun begitu, batu-batu yang ada di gua ini dikatakan telah diusik dan dipindahkan oleh mereka yang mencari batu zamrud yang kononnya ada tertanam di dalam gua tersebut.

gua_ikan

Seperti namanya, keadaan di dalam Gua Gelap ini sangat gelap. Cuma, sesekali cahaya matahari akan menyuluh tempat tersebut dari celahan dinding dan daripada cahaya itulah yang menjadikan gua ini unik untuk dilihat. Stalaktit dan stalagmit yang terdapat di dalam gua tersebut juga akan bersinar apabila disuluh. Stalaktit dan stalagmit ini dikatakan terbentuk akibat hakisan dan titisan air sejak ribuan tahun dahulu.

Bagi anda yang ingin meneroka Gua Keris Dan Gua Pagar pula, perlu melalui Gua Gelap yang sememangnya agak sukar untuk dilalui kerana gua ini hanya boleh dilalui dengan cara mengiring serta terpaksa merebahkan badan secara melintang sejauh kira-kira 20 km melepasi pintu masuk gua yang rendah dan sempit. Namun, jika anda sememangnya seorang yang sukakan cabaran, perkara ini pastinya akan menyeronokkan.

keris_(2)

ngua_pagar

Setelah sampai di Gua Keris pula, anda perlu memanjat batu yang agak licin untuk masuk ke dalamnya. Anda pasti akan puas hati sesampainya di dalam gua tersebut. Ini kerana, di dalam gua tersebut anda akan dapat melihat “sebilah keris’ yang gah terpacak di muka bumi. Keris tersebut merupakan hasil daripada stalaktit dan stalagmit yang terukir secara semulajadi serta pelbagai lagi keindahan yang terbentuk daripadanya.

guakeris

Kilauan hasil stalaktit dan stalagmit yang ada di situ pastinya akan melekakan pengunjung. Pastinya anda tidak akan kecewa setelah berpenat lelah untuk sampai ke sini. Hal ini kerana,anda pasti akan terpegun dengan keindahan alam semulajadi yang ada di situ apatah lagi dengan kilauan stalaktik dan stalagmit yang terbentuk sejak jutaan tahun yang lalu.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.