Dikir Barat Popular Di Kelantan

Dikir Barat merupakan satu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Kelantan. Dikir Barat ini biasanya wujud dalam kalangan masyarakat kampung dan pinggir bandar serta disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya akan diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Tok Juara merupakan orang pertama yang akan memulakan nyanyian dan kedudukannya juga sebaris dengan pemain muzik. Tok Juara ini seolah-olah akan meniupkan semangat kepada pasukannya untuk melakukan persembahan yang terbaik serta menjadi panduan kepada Tukang Karut.

nyanyian

Manakala, Tukang Karut pula, merupakan penyanyi yang paling penting di atas pentas. Tukang Karut ini juga bebas bergerak di pentas sambil menyanyi. Tukang Karut merupakan individu yang berbakat kerana mampu mencipta pantun secara spontan. Bakat ini dianggap sebagai bakat semulajadi yang ada dalam diri seseorang Tukang Karut. Dalam persembahan Dikir Barat ini, Tukang Karut dan Tok Juara akan memulakan persembahan dengan berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar yang kuat dan lantang.

tukang karut

dikir 2

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, terdapat beberapa pendapat mengenai asal usul Dikir Barat di Kelantan. Antaranya, Dikir Barat ini dikatakan berasal dari Selatan Thai yang lebih dikenali sebagai Dikir Karut oleh masyarakat mereka dan telah dibawa masuk ke Kelantan. Masyarakat Kelantan memanggil dikir tersebut sebagai Dikir Barat kerana perkataan Barat yang merujuk kepada Selatan Thai. Rakyat dari kedua-dua buah negeri ini sering berulang alik lantaran Kelantan pernah diperintah oleh kerajaan Thai.

dikir barat 2

Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan dikir tersebut turut dibawa masuk ke Kelantan dan diterima baik oleh masyarakat Kelantan. Untuk mengindahkan lagi irama dikir, masyarakat Kelantan telah menambahkan pantun-pantun ke dalam dikir tersebut dan mengubahsuai loghat yang lebih sesuai dengan suasana tempatan. Alat-alat muzik yang sering digunakan dalam Dikir Barat ialah Rebana Ibu dan Anak, Gong, Marakas dan Canang,

alatan

Ada juga yang mengatakan bahawa Dikir Barat berasal daripada ciptaan Pak Lah Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad yang berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengubahsuai dikir yang dibawa masuk dari Selatan Thai ke Kelantan dengan menambahkan pantun-pantun ke dalamnya. Hal ini kerana, dikir yang mula-mula sampai ke Kelantan tidak mempunyai pantun. Dikir Barat ini ditambahkan pantun oleh Pak Lah Tapang untuk menyedapkan lagi irama dikir tersebut.

tok juara

Sementara itu, perkataan dikir ini pula merupakan hasil daripada gabungan seni iaitu dikir dan pantun atau dikir karut. Perkataan Karut pula dianggap sebagai sesuatu yang mengarut dalam pengucapan pantun dan syair. Oleh itu, di Selatan Thai, dikir ini lebih dikenali sebagai Dikir Karut. Dikir ini biasanya akan dipersembahkan ketika musim menuai, dalam majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain.

dikir

Pun begitu, Dikir Barat kini telah diangkat ke peringkat yang lebih tinggi bahkan turut menjadi ‘batu lonjakan’ untuk memperlihatkan kehebatan seni Melayu tradisional melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, adanya rancangan televisyen yang menyiarkan rancangan Salam Pantai Timur, khas untuk memperkenalkan Dikir Barat kepada masyarakat umum.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.