Haji Ismail Pontianak, Tokoh Ulama’ Terkemuka Kelantan

Nama penuh beliau ialah Haji Ismail bin Abdul Majid tetapi lebih dikenali sebagai Ismail al-Kalantani atau dikenali juga sebagai Haji Ismail Pontianak lantaran beliau pernah bermastautin di Pontianak, Kalimantan Barat untuk satu jangka masa yang panjang bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak pada tahun 1910-1935 sebelum beliau kembali ke Kelantan. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Haji Ismail Pontianak ini merupakan seorang tokoh ulama’ yang suka merantau.

haji

Kerjaya awal Haji Ismail Pontianak adalah dalam perkhidmatan Majlis Agama Kelantan (MAIK) yang bermula pada 1 Januari 1940. Pada masa yang sama juga, beliau turut dilantik menjadi guru Kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili. Beliau juga terpilih untuk menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK bermula 10 April 1940 sehingga 8 Februari 1947). Selain daripada itu, beliau juga telah dilantik sebagai Penterjemah Arab pada 1 Julai 1941. Daripada jawatan yang disandang beliau, jelaslah bahawa Haji Ismail Pontianak sememangnya seorang tokoh ulama’ Kelantan yang hebat dan disegani ramai.

ismail

1 Mei 1943 adalah zaman kegemilangan Haji Ismail Pontianak apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muammadi, Kota Bharu. Pada masa ini, beliau merupakan Khatib yang paling tersohor di Kelantan kerana beliau dianggap berbeza dengan khatib-khatib yang dilantik sebelumnya yang mana mereka terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya dan khutbah mereka. Sedangkan, Haji Ismail telah berjaya menyampaikan khutbahnya secara langsung tanpa sebarang nota di tangan.

HAJI_ISMAIL

Khutbah yang disampaikan oleh Haji Ismail dikatakan lebih berkesan dan walaupun khutbahnya agak panjang, beliau berjaya menarik minat ahli jemaah kerana ahli jemaah tidak berasa bosan dengan khutbah yang disampaikan. Kebijaksanaan beliau dalam menyusun kata-kata dengan menyelitkan bahasa “segar” dikatakan berjaya menghidupkan suasana masjid sementelah ahli jemaah tidak jemu atau mengantuk sepanjang beliau berkhutbah.

Haji Ismail Pontianak ini bukan sahaja tersohor dalam kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, tetapi beliau juga turut disenangi oleh Sultan Ibrahim sehingga Sultan Ibrahim berkenan untuk melantik Haji Ismail sebagai guru agama merangkap imam di istana baginda.

masjid_1940

Haji Ismail Pontianak telah meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan telah dikebumikan di kampung asalnya iaitu Kampung Labok. Satu-satunya hasil penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah sebuah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia setebal 320 mukasurat iaitu sebuah karya yang diberi judul “bunga rampai”. Karya tersebut dicetak pertama kalinya pada tahun 1938.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.