‘Isteri, Anak Saya Ketakutan’-Pengerusi Masyarakat Rohingya Kelantan

“Sejak kelmarin hati saya tidak tenang. Dua hari lalu, keluarga saya di Myanmar bagi tahu mereka dalam ketakutan, pembunuhan semakin memuncak,” kongsi Jaafar Husin, salah seorang etnik Rohingya yang menetap di Kelantan sejak 35 tahun lalu.

image_9

Berkongsi kebimbangan itu, Jaafar yang juga Pengerusi Masyarakat Rohingya Kelantan berkata, kerisauannya terhadap anak dan isteri di negara bergolak itu tidak dapat dibayangkan setelah dimaklumkan sanak-saudaranya, tentera mula membunuh serta membakar penduduk hidup-hidup.

Jaafar berkata, dua hari lalu dia sempat menghubungi kakaknya dan difahamkan, kawasan yang didiami sanak saudaranya bersama 8,000 penduduk lain di Pumali daerah Butidan sudah mula digempur tentera zalim.

“Kumpulan pengganas sudah mula meminta wanita dan anak-anak dara dihantar kepada mereka dan jika tidak mengikut perintah, wanita berkenaan akan ditembak, dibunuh.

rohingya

“Sudah dua hari saya tidak boleh hubungi mereka. Sebelum ini semua sanak-saudara saya masih selamat. Sekarang ini saya semakin takut bila teringat balik cerita mereka,” katanya di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Lebih dahsyat, Jaafar mendakwa, kanak-kanak yang tidak berdosa juga dikepung di dalam rumah dan mereka bukan sahaja diseksa, malah dibakar hidup-hidup.

Tambahnya lagi, selain tawakal, ada juga di antaranya yang cuba melarikan diri ke negara jiran namun bagi mereka yang tidak bernasib baik akan ditangkap dan dibunuh di pertengahan jalan.

roh5

“Nak sampai ke sempadan Bangladesh pun sudah ambil masa 25 hari kena redah gunung ganang, bukit bakau. Tentera berjaga di segenap ruang. Bila jumpa, mereka bunuh,” katanya.

Terdahulu beliau mewakili masyarakat di Rohingya menerima kutipan derma berjumlah RM10,000 hasil inisiatif dilakukan sekumpulan Pengkuliah Utama Kelantan (PUK) setiap kali mengadakan ceramah di seluruh negeri ini.

Jaafar berkata, wang tersebut akan disalurkan secepat mungkin kepada individu yang bertanggungjawab di sana supaya ia dapat membantu meringankan beban mereka sedang dizalimi itu.

Pengerusi PUK, Wan Jamaludin Wan Abdullah berkata, gerakan mencari dana membantu etnik seagama di Arakan itu dilakukan sejak dua minggu lalu dan ia akan dibuat secara berterusan.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO negeri, Mohd Nazlan Mohamad Hasbullah.

Sumber:Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.