Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal, Kuala Krai

Rata-rata masyarakat Kelantan lebih mengenali Jambatan Gantung Sultan Ismail sebagai Jambutan Gantung Sungai Nal lantaran ianya dibina merentangi Sungal Nal yang juga menghubungkan jalan dari Kuala Krai ke Machang. Jambatan ini telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV pada 19 April 1932. Jambatan ini juga merupakan satu-satunya jambatan gantung di Kelantan yang mana jambatan inilah yang menjadi laluan utama menghubungkan penduduk sekitar Kota Bharu dengan daerah ini.

jmbtan

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, pembinaan jambatan ini sebenarnya menjadi lambang kepada Kuala Krai kerana pada tahun 1930-an, Kuala Krai merupakan bandar kedua termaju selepas Kota Bharu. Pada tahun ini juga, pihak British aktif menguasai Hulu Kelantan dan Kuala Krai merupakan pengkalan utama di Tangga Bradley. Oleh itu, Jambatan Gantung Sultan Ismail ini dibina dengan penuh gaya Inggeris.

gertak

Raka bentuk jambatan ini menggunakan besi keluli yang begitu teguh dan kuat. Berdasarkan struktur binaanya, jambatan ini dilihat menyerupai kebanyakan jambatan lain yang ada di Eropah. Walaubagaimanapun, pada tahun 1986, jambatan tersebut tidak lagi digunakan sementelah adanya jambatan baru yang dibina berdekatannya. Selepas itu, Jambatan Gantung Sultan Ismail ini telah dijadikan sebagai warisan sejarah Kelantan.

ismail

Menurut sumber Sinar Harian, selepas pembinaan jambatan baru berkenaan, Jambatan Gantung Sultan Ismail ini dikatakan telah terbiar tanpa penyelenggaraan. Ianya juga bagaikan sudah tidak ada apa-apa nilai kepada masyarakat Kelantan. Bahkan, jambatan ini pernah terbakar kerana puntung rokok yang dibuang oleh warga asing ketika melalui jambatan tersebut.

gantung

Seharusnya, jambatan yang mempunyai nilai sejarah ini dipelihara dengan baik oleh pihak berwajib kerana jambatan ini merupakan lambang Kuala Krai yang sangat bermakna lebih-lebih lagi untuk dikekalkan sebagai warisan generasi yang akan datang. Diharapkan, jambatan ini akan terus gah berdiri walaupun jambatan moden telah dibina berdekatan dengannya. Semoga jasa jambatan ini juga tidak terus dilupakan dari masa ke semasa.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.