Jejak Peperangan Pertama Tentera Jepun Di Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa, Kelantan

Pendaratan pertama tentera Jepun 74 tahun lalu jam 12.20 pagi di Kuala Pak Amat dekat Pengkalan Chepa, Kelantan telah merakam detik penting dan bersejarah apabila ianya menjadi lokasi pertama serangan tentera Jepun di Tanah Melayu.

 alt=

Serangan yang berlaku pada 8 Disember 1941 itu dicatatkan sejam lebih awal sebelum Pearl Habour di Hawaii diletupkan tentera Jepun yang menyebabkan British tidak dapat berbuat apa-apa apabila tentera yang ditempatkan di beberapa kubu sepanjang pantai gagal menahan amukan tentera Jepun tersebut.

Tentera Jepun yang seramai kira-kira 5200 orang itu diketuai oleh Mejar Jeneral Takumi bersama armada tiga kapal pendarat dan tujuh kapal perang telah memilih kawasan Pantai Pak Amat sebagai lokasi pendaratan mereka.

jepun

Kini, pantai Kuala Pak Amat hanya tinggal nama selepas tanahnya ditelan air akibat hakisan dan tapak peninggalan hanya bersemadi dalam lipatan sejarah.

Lantaran peristiwa bersejarah itu, seramai 20 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah melakukan kajian di setiap kawasan peninggalan sejarah di Kelantan serta melakonkan semula detik sejarah itu untuk merasai sendiri semangat perjuangan Jepun untuk menakluk Tanah Melayu.

perang1

Mereka menaiki bot yang dijadikan sebagai sebuah kapal perang yang tiba mendarat di pantai Pak Amat sambil melaungkan slogan ‘Banzai!’ tanda kata semangat untuk menghindari kekalahan selain meningkatkan semangat melawan pasukan lawan yang lebih besar.

Dekan Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan UPNM Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, dalam sejarah Tanah Melayu, episod Perang Dunia Kedua adalah yang terbesar yang membabitkan kuasa dunia seperti Amerika, Britain dan New Zealand.

perang

Beliau berkata, demonstrasi serta kajian yang dilakukan itu merupakan satu tema pengajian sejarah ketenteraan UPNM sebagai kursus yang wajib, yang mana mereka bukan sahaja mendengar kuliah tetapi menghayati tempat berlakunya sejarah peperangan itu.

“Kami bertuah kerana Fakulti Pengajian Pertahanan UPNM telah diberikan kepercayaan untuk membuat kajian di kawasan pantai Pak Amat. Selain itu, pantai Sabak juga termasuk kawasan peninggalan sejarah di negeri ini memandangkan Kelantan adalah lokasi pertama tercetus peperangan berdarah dunia kedua.

perang2

“Jika kita lihat sejarah, kebanyakan penjajahan seperti Portugis, Belanda dan British menakluk negeri ini untuk membolot hasil getah dan lada.

“Namun, Jepun menawan Tanah Melayu bagi mengambil hasil petroleum dan kelapa sawit,” katanya.

jepun

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM Lefternan Kolonel Dr Mohd Zaini Mohd Salleh berkata, pihaknya turut menjalankan kajian untuk melihat kembali lokasi bersejarah yang menjadi tapak pendaratan tentera Jepun ke Tanah Melayu.

“Kajian ini dibuat secara berterusan sehingga tahun depan dan kami merancang menubuhkan galeri sudut sejarah di UPNM,” katanya.

Katanya, kajian mendapati ada 12 kubu kecil sepanjang pantai itu tapi hanya tujuh kubu ditemui.

image

Penuntut UPNM Mohd Khushairi Abdul Kadir me­nyifatkan demonstrasi yang dilakukannya itu menjelaskan lagi kronologi pendudukan Jepun di Pantai Pak Mat pada 74 tahun lalu.

Sumber:Metro (2015)

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.