Keenakkan Laksa Kelantan Kuah Santan

Salah satu makanan yang menjadi kegemaran rakyat Kelantan ialah laksa Kelantan kuah santan yang dicampur dengan isi ikan dan lada hitam. Aroma dan keenakkan laksa Kelantan ini pastinya akan memikat selera penggemarnya. Terdapat banyak restoren di Kelantan yang menyajikan hidangan laksa yang sememangnya menjadi pilihan masyarakat lantaran laksa ini dapat dinikmati tidak kira masa.

laksa

Sesetengah masyarakat turut menggelarkan laksa ini sebagai laksa kuah lemak kerana kuah laksa ini bukan sahaja terdapat di Kelantan. Bahkan, boleh didapati di negeri lain juga. Cara masakan yang betul, pastinya akan menghasilkan kuah laksa yang enak dan menyelerakan.

P1012078

Kebiasaanya, nisbah untuk membuat kuah laksa ini ialah 1 kilo santan : 1 kilo ikan : 3 kilo laksa. Bahan-bahan yang diperlukan juga sangat ringkas ditambah dengan cara penyediaan yang mudah. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah sekilo santan (digunakan untuk mengisar bawang, ikan dan juga sebagai kuah), sekilo ikan direbus dengan sedikit garam, 10 ulas bawang merah, 5 ulas bawang putih, halia, selabu bawang besar kuning, garam dan gula, asam keping mengikut citarasa dan serbuk lada hitam.

laksa2

Cara memasaknya pula ialah semua jenis bawang dan halia dihiris kasar dan dikisar dengan santan. Bahan-bahan tersebut perlu dikisar sehingga betul-betul lumat dan halus. Ikan pula perlu direbus terlebi dahulu dan selepas selepas masak, ikan rebus perlu dibuang tulang dan diambil isinya sahaja.Isi ikan juga perlu dikisar dengan santan.
kelantan

Bahan-bahan yang dikisar sebelumnya perlu disatukan ke dalam periuk di samping lebihan santan yang digunakan. Kesemuanya perlu dikacau sebati terlebih dahulu sebelum menghidupkan api. Kuah laksa perlu dikacau selalu dan tidak boleh berhenti untuk mengelakkannya daripda jadi berketul-ketul. Tempoh mendidihkan kuah laksa tersebut juga tidak boleh terlalu lama yakni jangan sampai pecah minyak kerana ianya akan mengganggu rasa kuah.

laksa3

Laksa Kelantan atau laksa lemak ini biasanya dimakan bersama ulam seperti kacang panjang, daun kesum, daun serai dan bunga kantan yang dihiris halus serta digaul bersama. Terdapat juga ulam yang perlu diletakkan secara berasingan misalnya taugeh, timun batang, sambal jantan, limau nipis atau limau kasturi serta belacan dan garam. Bagi mereka yang betul-betul mahir dalam masakan laksa, pastinya laksa yang dimasak akan memikat selera ramai orang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.