Kelantan Mungkin Pernah Didiami Dinosaur

Pasukan penyelidik Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang, mungkin pernah didiami dinosaur untuk ratusan juta tahun yang lalu.

dinasour

Ketua Jabatan Geobumi, FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar, berkata perkara ini dinyatakan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap struktur batu di kawasan tersebut.

Kata beliau, jenis batuan yang dijumpai di situ sama seperti yang dijumpai di sekitar Sungai Cicir, Gunung Gagau dan Tasik Kenyir di Terengganu yang pernah menjadi tempat penemuan fosil dinosaur.

kenyir2

“Kita akan meneruskan kajian di Taman Negara dan kawasan sekitar hutan di Gua Musang bagi membuktikan kewujudan dinosour di kawasan tersebut sekitar ratusan juta tahun yang lalu. Daripada perbincangan kami di UMK, kami percaya kawasan terbabit mempunyai kemungkinan tinggi untuk menjumpai spesis Theropod dan Sauropod.

theropods

“Selain itu, kawasan ini juga terletak hanya 60 kilometer dari Sungai Cicir, Kuala Berang, Terengganu yang pernah menjadi tempat sekumpulan pengkaji menemui fosil seperti gigi dan tapak kaki dinosaur jenis itu,” katanya ketika ditemui.
fosil_gigi_1

Bagaimanapun, Arham berkata kewujudan haiwan purba itu perlu kepada penyelidikan lebih teliti daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Perhutanan.

“Kita belum menjumpai sebarang fosil mengenainya namun tidak menolak kemungkinan ianya wujud di hulu negeri ini berikutan ia turut dilaporkan wujud di Gunung Gagau, Hulu Terengganu tidak jauh dari Taman Negara Kuala Koh tiga tahun lalu.

taman

“Saya berharap akan ada inisiatif pihak lain untuk meneruskan penyelidikan ini kerana jika fosil itu dapat ditemui, satu sejarah baharu dapat dilakarkan seterusnya Taman Negara Kuala Koh boleh menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Tiga tahun lalu, 17 penyelidik Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Terengganu serta Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) berjaya menemui dua gigi, empat tulang dan beberapa kesan tapak kaki dinosaur di beberapa tempat di Hulu Terengganu.

Penemuan terbabit membuka dimensi baharu dalam dunia penyelidikan ilmu geologi dan paleontologi.

Sumber:Berita Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.