Kemangkatan Raja Abdullah Di Kota Mahligai Kelantan

Raja Abdullah merupakan anak kepada Raja Bahar yang telah dikahwinkan dengan Puteri Sa’adong, anak Raja Loyor, merangkap sepupunya sendiri. Perkahwinan ini adalah untuk menyelamatkan Puteri Sa’adong daripada Raja Siam yang berniat untuk menjadikan Puteri Sa’adong sebagai isterinya yang mana pinangan Raja Siam telah ditolak oleh Raja Loyor dan Cik Siti Wan Kembang.

makam5

Untuk mengelakkan ancaman daripada Raja Siam, Raja Abdullah dan Puteri Sa’adong telah dikahwinkan oleh Cik Siti Wan Kembang di istana yang penuh gilang gemilang. Setelah mereka sah bergelar suami isteri, Cik Siti Wan Kembang telah menganugerahkan sebuah jajahan yang bernama Jelasin atau dikenali juga sebagai Kota Mahligai yang terletak di antara Pasir Puteh dan Kota Bharu. Perkahwinan Raja Abdullah dengan Puteri Sa’adong dikatakan telah menamatkan sejarah pemerintahan di Jembal.

makam4

Hal ini kerana, pemerintahan Raja Abdullah bersama Puteri Sa’adong tidak lagi berpusat di Jembal kerana mereka telahpun mempunyai kerajaan sendiri yang berpusat di Kota Mahligai. Namun begitu, terdapat juga andaian bahawa kuasa pemerintahan dan pentadbiran Raja Abdullah ini meliputi kerajaan Jembal.

makam2

Andaian ini dibuat lantaran kerajaan Jembal pada waktu itu tidak lagi mempunyai pemerintah setelah kemangkatan Raja Loyor pada tahun 1663. Pun begitu, hal ini tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana apa yang pasti Raja Abdullah memegang tampok pemerintahan yang berpusat di Kota Mahligai. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, baginda Raja Abdullah telah mangkat pada tahun 1671 dan dimakamkan di Padang Halban dalam daerah Melor yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kota Bharu.

makam3

Kemangkatan baginda dikatakan berpunca daripada tikaman cucuk sanggul Puteri Sa’adong dalam satu pergaduhan besar yang berlaku antara mereka di Kota Mahligai. Pergaduhan besar ini berlaku disebabkan Puteri Sa’adong gagal menahan amarahnya terhadap Raja Abdullah yang telah mungkir janji untuk terus setia kepada Puteri Sa’adong ketika Puteri Sa’adong ditawan Raja Siam. Walhal, Puteri Sa’adong tidak pernah membenarkan Raja Siam menyentuhnya. Sedangkan, Raja Abdullah didapati telah berkahwin dengan wanita lain.

makam1

Namun begitu, ada sesetengah pendapat yang menyangkal bahawa Puteri Sa’adong adalah penyebab kematian Raja Abdullah kerana Puteri Sa’adong digambarkan sebagai seorang yang alim dan kuat agamanya. Baginda Puteri Sa’adong dikatakan tidak mungkin akan membunuh suaminya sendiri. Apa pun, sejauh mana kebenaran tentang punca kematian Raja Abdullah sehingga kini tidak dapat dipastikan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.