Kenali Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani (1880 – 1952) Ulama’ Tersohor Kelantan

Nama penuh tokoh ulama’ Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani ialah Hj. Osman b. Muhammad. Beliau dilahirkan Kampung Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu / Bachok pada penghujung 1297H (1880 M). Beliau juga turut dikenali dengan panggilan Hj. Seman Sering.

sheikh

Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani merupakan seorang tokoh ulama’ yang sangat terkenal pada awal abad ke-20. nama beliau bukan sahaja dikenali di Kelantan malah turut terkenal di Pulau Pinang hingga ke Mekah. Beliau juga salah seorang anak murid Tok Kenali dan seangkatan dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim dan Dato’ Perdana Haji Mat Jebeng.

Selain daripada Tok Kenali, beliau juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di Mekah pula beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor atau nama sebenarnya Syeikh Mohd Mukhtar bin Atarid yang juga antara tokoh ulama’ yang ternama ketika itu.

hjseman

Kejayaan beliau mendirikan sebuah madrasah yang dikenali sebagai Madrasah Manabi al-Ulum di Penanti, Bukit Martajam, Pulau Pinang pada tahun 1932 telah melonjakkan nama beliau dan menjadikan beliau terkenal di Semenanjung tanah Melayu. Semasa tahun 1930 hingga 1940-an, madrasah ini telah muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai.

timthumb.php

Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani ini juga kerap berulang alik ke Mekah lantaran beliau telah diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Bermula dari sinilah, beliau mendapat anak didik seperti Haji Abdul Rahman Sungai Durian, Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Abdullah Lati, Haji Abdullah Kampung Laut, Haji Keterah dan ramai lagi. Beliau juga banyak menghasilkan karya-karya sendiri dan terjemahan sementelah beliau sendiri merupakan seorang guru yang berdedikasi.

Sheikh Osman merupakan seorang yang sangat berhati-hati dan teliti dalam menghasilkan penulisannya serta memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan semasa masyarakat. Kitab Durrat al Nafi’ah (Alamat Kiamat), hasil penulisannya telah mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan yang berpandangan jauh kerana ia dianggap sebagai buku bahasa Melayu yang paling terperinci dalam membincangkan perkara-perkara berkaitan tanda-tanda hampir kiamat. Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September, 1952.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.