Kerajaan Kelantan Meminta Semua Pihak Tidak Menyalahkan Pusat Tahfiz Semata-Mata Jika Berlaku Sebarang Kecelakaan

Kerajaan Kelantan meminta semua pihak tidak menyalahkan pusat tahfiz semata-mata jika berlaku sebarang kecelakaan yang meragut nyawa termasuklah kes terbaharu yang berlaku di Kuala Lumpur yang melibatkan 23 maut.

tahfiz

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Jalan Keramat Kuala Lumpur itu perlu dijadikan iktibar bersama dan bukannya saling menuding jari kepada mana-mana pihak.

Mohd Amar berkata, sebaliknya pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk aspek kewangan yang menjadi kekangan bagi pengurusan mana-mana pusat tahfiz untuk memenuhi tuntutan ciri-ciri keselamatan.

nik_amar

“Saya tidak suka orang menyalahkan orang itu dan orang ini. Mencela pusat tahfiz, sebab itu tidak betul. Kebakaran bukan libatkan tahfiz sahaja, premis kerajaan pun terbakar, kalau begitu kita tutup semualah. Ini cara pemikiran yang tidak betul. Kita tidak boleh kata, kerana (ciri) keselamatan tidak cukup yang menyebabkan ianya terbakar.

“Kita tidak menyalahkan sesiapa cuma kita tahu tahfiz ini, kewangan tidak besar dan hampir semua tahfiz ini hidup (bergantung) dengan bayar yuran sahaja, jadi kita tidak boleh harapkan lebih daripada mereka,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menghadiri sambutan Hari Malaysia 2017 dan Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang melibatkan 2,000 penyertaan perbarisan terdiri daripada 62 kontinjen.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahaya Mamat dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Nazari Abd Hadi.

Begitu juga di Kelantan, Mohd Amar berkata, kerajaan akan turut berusaha untuk menaiktarafkan pusat-pusat tahfiz di Kelantan termasuk mengutamakan aspek keselamatan.

“Yang tidak selamat ini kita akan bantu untuk naik taraf ciri-ciri keselamatan. Kita tidak boleh membiarkan, sebab kadang-kadang bukan kerana dia tidak peduli tetapi kerana ketidakmampuan.

“Ciri-ciri keselamatan ini melibatkan kewangan, (umpama) rumah yang sempurna memerlukan duit dan kalau tidak ada duit nak buat macam mana. Sedangkan tahfiz sendiri gaji guru pun cukup-cukup sahaja.

“Kalau kita dengar cerita kadang-kadang sedih. Guru ada ijazah, gaji hanya dua tiga ratus sebulan. Mereka berkorban, jadi kalau tidak ada yang bantu, itu aniayalah,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengesan 17 sekolah agama pondok di negeri ini beroperasi tanpa permit daripada jabatan tersebut dan ia berisiko tinggi sekiranya berlaku kebakaran.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas menyambut baik pengumuman peruntukan RM30 juta kepada semua maahad tahfiz di negara ini bagi menambah baik prasarana sedia ada.

“Cuma saya harap ia diuruskan dengan teratur dan menepati sasaran. Ini satu permulaan yang baik. Tetapi saya rasa kerajaan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan sebab itu di Kelantan kita tubuhkan (tahfiz) walaupun kemampuan kewangan kita terhad,” katanya.

Sumber:Sinar Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.