Kesan Peninggalan Zaman Penjajahan Jepun Di Kampung Hutan Buloh

Di Kampung Hutan Buloh dikatakan terdapat banyak kesan sejarah yang ditinggalkan oleh penjajah Jepun. Askar-askar Jepun mula tiba di kampung ini pada bulan Disember 1941 pada waktu malam. Tentera Jepun yang mendarat di kawasan Pantai Cahaya Bulan mula mengejar tentera Inggeris melalui jalan utama di pekan ini.

jepun

Dalam kejadian itu, kebanyakkan penduduk kampung telah bergegas untuk menyelamatkan diri dengan berlindung di sebuah kubu yang dibina di kawasan yang sekarang ini terletak bersebelahan dengan Kelab IT Hutan Buloh.

Pada masa itu, Kubu hanyalah merupakan sebuah kolam besar yang digali sebagai persiapan untuk peperangan ini. Ramai kanak-kanak yang menangis ketakutan di dalam kubu tersebut apabila terdengar bunyi kuat dari kapal-kapal terbang rendah yang bertempur. Walaubagaimanapun, tentera Jepun tidak masuk ke dalam kawasan perkampungan. Mereka hanya berada di jalan utama sahaja atau di pinggir kampung dan terus bergerak mengejar tentera British dan askar-askar Ghurkha pada malam itu.

jepun1

Semasa pertempuran berlaku, dikatakan terdapat dua orang askar Ghurkha yang melarikan diri ke dalam kampung dalam ketakutan dan meminta penduduk untuk memberikan kain sarong kepada mereka untuk dipakai bagi mengelakkan mereka dikesan oleh tentera Jepun.

Pada malam itu, suasana kawasan pertempuran menjadi cerah dengan cahaya api yang jauh membakar depo minyak di Pantai Cahaya Bulan. Bahkan, penduduk-penduduk dapat melihat cahaya api itu pada pokok-pokok besar di kampung mereka.

api6

Dalam masa pemerintahan Jepun, banyak penyiksaan yang dilakukan oleh tentera Jepun di sini. Mereka meninggalkan ‘talibarut’ Jepun yang bertindak sebagai pengawal Jepun di sini. Orang-orang tahanan dipaksa untuk bekerja menanam padi. Jepun pada masa itu mula memperkenalkan cara tanaman padi dua kali setahun. Parit telah digali bersebelahan selatan Taman Tengku Ahmad Rithauddeen untuk mengalirkan air ke sawah dari sumber sungai Melor.

Bagaimanapun usaha mereka tidak berjaya kerana geografi tanah yang tidak di sekata menyebabkan air kering kerana paras air sungai rendah. Mereka yang enggan atau tidak dapat menyiapkan kerja mereka akan dilapor kepada Jepun oleh talibarut mereka.

padi

Penduduk kampung yang gagal melaksanakan tugas mereka akan diseksa dengan memaksa mereka untuk meminum air sabun dan dipijak perut oleh tentera Jepun. Ada juga penduduk yang dihantar ke Bukit Marak untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan di situ. Mereka yang tidak dapat menyiapkan kerja atau mengikuti arahan akan dihukum dengan zalim.

Padi yang ditanam dan berjaya dituai akan dipungut hasilnya oleh tentera Jepun. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan tidak akan mendapat hasilnya dan turut mengakibatkan penduduk terpaksa hidup dalam kelaparan.

Pun begitu, penduduk kampung telah berusaha untuk mengelakkan masalah ini terus berlarutan yang mana pada masa yang sama mereka telah menanam ubi kayu bersama padi. Hal inilah yang menyebabkan wujudnya cerita orang-orang tua yang terpaksa memakan ubi kayu untuk terus hidup semasa penjajahan Jepun.

Tanaman

Ada juga penduduk kampung yang terpaksa makan kulit pokok kemudu dan tidak kurang juga ada yang terpaksa memasak nasi bersama dengan daun-daun pokok untuk menambah makanan. Mereka yang menanam ubi pula akan mengalami masalah ubi dicuri pada waktu malam oleh penduduk lain yang kelaparan.

Pada masa penjajahan Jepun juga, banyak berlaku jangkitan penyakit kerana tiada doktor yang boleh memberi perkhidmatan kepada mereka. Ditambah lagi, tidak ada ubat yang dapat diberikan kepada orang kampung apabila berlakunya penyakit. Masa itu, banyak penyakit yang terpaksa diharungi oleh penduduk tanpa mendapat apa-apa rawatan. Pada masa itu juga, kelahiran anak-anak juga tidak dapat dicatatkan.

Jepun juga mula memberi pengajian Bahasa Jepun di sekolah-sekolah yang ditinggalkan oleh British. Pada masa penjajahan Jepun, antara sekolah-sekolah yang ada di Jalan Pasir Puteh ialah Sekolah Padang Garong, Sekolah Kubang Kerian, Sekolah Padang Kala dan Sekolah Bukit Abal. Pada masa itu, struktur binaan dinding sekolah diperbuat daripada pokok nibong dan atap nipah.

sekolah

Seramai 7 orang penduduk di sini telah dihantar ke Burma untuk kerahan tenaga membuat jalan keretapi maut. Cara mereka dihantar ialah dengan tipu muslihat tentera Jepun. Pada masa itu, penduduk di sini dikerah untuk membuat empangan sungai bagi tanaman padi oleh pihak Jepun. Jadi, mereka membuat berita bahawa sesiapa yang dihantar ke Burma untuk bekerja membuat rel keretapi akan mendapat gaji yang lumayan.

Mereka yang berminat boleh menunggu di Kedai Melor untuk menaiki kereta yang akan membawa mereka menaiki keretapi ke Burma. Pada hari tersebut ada berapa orang penduduk telah dinasihati supaya jangan pergi dan mereka pulang, tetapi ramai yang terpedaya dan terus mengikut tentera jepun untuk ke Burma dan mereka yang telah dihantar ke sana tidak akan kembali ke kampung. Mungkin disebabkan inilah, ianya digelar sebagai jalan keretapi maut.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.