Khazanah Tersembunyi Di Tebing Sungai Kelantan, Kampung Kubang Pak Amin.

Rata-rata masyarakat Kelantan mengetahui akan kewujudan Pasir Mas sebagai sebuah jajahan yang menyimpan banyak tinggalan sejarah yang tak ternilai harganya kepada peradaban manusia sejak dahulu kala. Begitu juga dengan Sungai Kelantan yang terletak di jajahan Pasir Mas yang turut dikatakan ada menyimpan pelbagai khazanah lantaran Sungai Kelantan merupakan laluan utama pedagang zaman dahulu kala. Dikatakan, pelbagai khazanah sejarah telah ditemui di tebing Sungai Kelantan yang seterusnya menyebabkan tebing sungai tersebut menjadi tumpuan orang ramai. Sumber dipetik daripada Sinar harian.

sungai

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, beberapa tahun yang lalu, Sinar Harian telah melaporkan tentang penemuan syiling lama di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin. Penemuan syiling tersebut telah menarik perhatian penduduk dari dalam dan luar kawasan itu untuk melakukan aktiviti cari gali dengan harapan mereka juga akan menemui khazanah lain yang tersimpan di sungai tersebut.

syiling

Temubual yang dijalankan oleh Sinar Harian bersama seorang penduduk kampung iaitu Wan Mohd Yusof Wan ahmad, 36, beliau mengatakan bahawa duit syiling lama yang ditemui beliau tersangkut pada jala ketika menjala di sekitar kawasan tersebut sambil membawa anak-anaknya bermain air. Selepas ternampak syiling yang tersangkut itu, beliau terus menggali pasir di kawasan itu dan menjumpai beberapa lagi duit syiling dan membawanya pulang ke rumah. Menurut beliau lagi, penemuan syiling tersebut telah menular ke seluruh pelosok kampung yang seterusnya telah menarik perhatian penduduk kampung yang lain untuk turut menggali tinggalan sejarah yang terdapat di tebing Sungai Kelantan.

mo2m5kk0p/image_(1)

Berita mengenai penemuan ini juga telah sampai ke pihak Perbadanan Muzium Negeri kelantan yang mana pihak tersebut telah melaporkannya kepada Jabatan Warisan Negeri. Dengan kerjasama pihak polis, kawasan tersebut telah ditutup dan orang ramai dilarang memasuki kawasan tersebut. Dengan itu, kajian untuk melihat nilai sejarah berkenaan tempat tersebut telah giat dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur.

sungai kel

Sinar Harian juga turut melaporkan tentang penemuan sebilah pisau Tembeling di kawasan yang sama dan hal ini dikatakan bakal membuka lembaran baru dalam bidang pengkajian sejarah negara khususnya kajian berkaitan manusia zaman Neolitik terdahulu. Menurut Ketua Pengawai Arkeologi Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur, Ruzairy Arbi, beliau mengatakan bahawa pisau yang sama pernah ditemui oleh seorang pengkaji Barat di sekitar Sungai Tembeling pada 1930-an.

image

Menurut beliau lagi, sepanjang menjalankan aktiviti kajian di kawasan tersebut, mereka telah berjaya menemui pelbagai artifak lain seperti seramik, alatan batu, duit syling serta terdapat juga sesetengah serpihan tembikar yang mempunyai nilai yang cukup tinggi yang mana artifak-artifak tersebut dipercayai berasal dari zaman prasejarah sehingga ke zaman awal kesultanan Kelantan. Artifak-artifak yang ditemui ini juga dipercayai terbenam ke dasar sungai akibat kapal padagang yang karam di kawasan tersebut lantaran Sungai Kelantan merupakan laluan utama kapal-kapal dagang pada suatu masa dahulu

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.