Kisah Hidup Mantan Raja Perempuan Kelantan, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis

YMM Raja Perempuan Tengku Anis diputerikan pada tahun 1949 di kediaman nendanya di Palm Manor, Kota Baharu Kelantan. Baginda merupakan kerabat diraja Kelantan dan juga Pattani. Baginda dibesarkan dan mendapat pendidikan di Kota Bharu Kelantan. Baginda Tengku Anis merupakan puteri kepada YAM Almarhum Tengku Abdul Hamid Ibni Almarhum Tengku Muda dan YAM Almarhum Tengku Azizah Binti Almarhum Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah.

YMM tengku

Nenda baginda iaitu Tengku Hamzah merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Baginda Tengku Anis juga belajar di Sekolah Inggeris Zainab dan lulus Senior Cambridge dan Sijil Persekolahan Malaysia. Baginda juga telah mendapat pendidikan agama daripada guru-guru agama yang dibawa khas di kediaman baginda.

Dalam usia 19 tahun, baginda Tengku anis telah diijabkabulkan dengan DYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 4 Disember 1968. Adat istiadat perkahwinan baginda diadakan di Istana Kota Lama. Hasil perkahwinannya, baginda berdua telah dikurniakan 3 orang putera dan seorang puteri. Anak sulung baginda ialah DYMM Sultan Faris Petra atau Sultan Muhammad ke 5 yang dilantik menjadi Sultan Kelantan setelah DYMM Tuanku Ismail Petra jatuh gering. Putera kedua dan tiga adalah Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, (Tengku Mahkota Kelantan), Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Sultan lsmail Petra.

petranis

Satu-satunya puteri baginda YAM Tengku Amalin A’ishah Putri merupakan majistret wanita pertama di Kelantan. Tengku Anis dianugerahkan gelaran Tengku Ampuan Mahkota Kelantan pada 1 Januari 1969 oleh ayahanda mertua baginda DYMM Almarhum Sultan Yahya Petra di Istana Balai Besar Kota Bharu. Baginda telah ditabalkan menjadi DYMM Raja Perempuan Kelantan pada 3 Mac 1980 apabila suami baginda menjadi KDYMM Sultan Kelantan ke 28. Baginda bergelar Raja Perempuan Kelantan selama 30 tahun sebelum turun takhta pada tahun 2011.

raja

Baginda Tengku Anis merupakan seorang permaisuri yang amat prihatin dengan rakyat jelatanya. Baginda sering mencemar duli merasmikan projek kebajikan yang dijalankan oleh Projek Diraja Kelantan yang dinaungi oleh Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis sendiri. Baginda pertama kali menunaikan fardu haji pada 1983 bersama suami baginda.

Setelah kegeringan Tuanku Ismail Petra, Tengku Anis banyak menghabiskan masa untuk menjaga suami baginda itu. Pada 13 September 2010, Sultan Faris Petra telah dimashyurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru dan Tengku Anis dikurniakan gelaran Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis oleh anakanda baginda. Kini baginda hidup bersama suami baginda yang masih gering tetapi beransur pulih.

kuaniss_2

DUN Negeri Kelantan telah sebulat suara meluluskan Elaun Khas Seumur Hidup untuk Mantan Sultan dan Raja Perempuan Kelantan berupa elaun bulanan seumur hidup, sebuah kediaman dan kemudahan-kemudahan lainnya. Pemberian ini adalah sebagai penghargaan untuk baginda berdua yang telah banyak berjasa sepanjang pemerintahan baginda. Semoga Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis sentiasa dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik selalu.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.