Kisah Siti Zubaidah Keturunan Raja Kelantan Yang Jarang Diketengahkan

Selain Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Sa’adong, terdapat ramai lagi tokoh wanita lain yang sama hebat bahkan kisah mereka juga turut menjadi lagenda di kelantan. Cuma, kisah tokoh wanita yang lain ini jarang diketengahkan sepertimana kisah Cik Siti Wan kembang dan Puteri Sa’adong yang terkenal sehingga ke hari ini. Salah seorang tokoh wanita yang juga cukup terkenal dalam lagenda Kelantan ialah Siti Zubaidah.

sitiz

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Siti Zubaidah merupakan permaisuri Champa, anak kepada Raja Bharubhasa yang merupakan Raja Chermin yang dilantik oleh datuknya, Sang Sakranta sekitar tahun 1267. Siti Zubaidah ini juga adalah anak saudara kepada Cik Siti Wan Kembang.

Pasti ramai antara kita yang mengetahui tentang Syair Siti Zubaidah Perang Cina iaitu syair yang mengisahkan perjuangan dan keperwiraan seorang wanita atau lebih tepat perjuangan seorang isteri untuk menyelamatkan suaminya yang ditawan musuh dari Utara Champa.

buku

Dalam sejarah Kelantan, Siti Zubaidah dikatakan telah dikahwinkan dengan Sultan Zainal Abidin atau dikenali juga sebagai Raja Che Bo Nga di Kota Jiddah iaitu ibu negeri Chermin (Kelantan Purba) oleh ayahandanya. Selepas perkahwinannya itu, Sultan zainal telah membawa Siti Zubaidah pulang ke Kota Bal Ngwe.

Perdamaian antara Sultan Zainal dengan kerajaan majapahit telah berjaya mengukuhkan kedudukannya daripada ancaman Dai Viet. Kerajaan Dai Viet telah diserang oleh Champa pada tahun 1361 dan Dai Viet ini dikatakan semakin lemah setelah kemangkatan Raja Duong. Selepas kemangkatan raja Duong, telah berlaku perebutan kuasa antara pewaris raja Duong dengan kerabat Dai Viet yang lain.

sultan

Hal ini telah menyebabkan permaisurinya, Duong Khoung atau dikenali juga sebagai Kilan Cahaya bersepakat dengan pembesar Raja Duong untuk melantik puteranya yang masih kecil namun, ditentang oleh saudara Raja Duong. Duong Khoung merasa dirinya terancam lalu melarikan diri ke Champa dan meminta perlindungan Sultan Zainal pada tahun 1370. Sultan Zainal seterusnya telah melantik Duong Khoung sebagai Raja Dai Viet setelah berjaya menawan Hanoi.

Walaubagaimanapun, hubungan baik antara mereka tidak disenangi oleh bapa saudara Duong Khoung lalu bertindak membakar sebuah kapal dagang Dai Viet di Kota Bal ngwe. Tanpa disedari, perdamaian antara Duong Khoung dengan Sultan Zainal hanyalah satu rancangan untuk menyerang Champa. Pada masa inilah, Duong Khoung bersama enam lagi saudaranya telah berjaya menawan Sultan Zainal bersama empat orang panglimanya. Hal inilah yang telah mencetuskan pengembaraan Siti Zubaidah yang sarat mengandung untuk menyelamatkan baginda daripada tawanan tujuh puteri Dai Viet tersebut.

Dalam Syair Siti Zubaidah telah menceritakan dengan terperinci bagaimana Siti Zubaidah berjaya menyelamatkan suaminya daripada musuh. Tiga bulan selepas itu, Dai Viet telah merancang untk menyerang Champa tetapi tertipu dengan helah Sultan Zainal yang mengatakan baginda telah mengosongkan Kota Bal Ngwe. Dalam tempoh tiga bulan tersebut, Sultan Zainal telahpun bersedia untuk menghadapi serangan daripada Dai Viet. Baginda telah meminta bantuan ketenteraan Kerajaan Majapahit.

perang

Dalam pertempuran ini, Siti Zubaidah turut serta berjuang bersama suaminya. siti Zubaidah telah mengenakan persalinan lelaki dan telah berjaya menawam puteri-puteri Dai Viet termasuklah Duong Khoung. Puteri-puteri Dai Viet ini telah diislamkan oleh siti Zubaidah dan dikahwinkan dengan panglima-panglima Champa. Manakala, Duong Khoung pula telah dikahwinkan dengan suaminya sendiri, Sultan Zainal.

Siti_Zubaidah

Tidak lama slepas itu, angkatan Sultan Zainal sekali lagi menyerang Hanoi. Segala harta rampasan dari Hanoi telah dihantar sebagai hadiah kepada kerajaan China untuk mengelakkan campur tangan China. Pada tahun 1388, Sultan Zainal dikatakan telah dibunuh oleh panglimanya sendiri iaitu la Khai. la Khai telah membawa angkatan Champa kembali ke Kota Bal Ngwe dan mengangkat dirinya sendiri sebagai raja Champa. Pemerintahan La Khai yang penuh kekejaman telah ditentang oleh Siti Zubaidah. La Khai akhirnya telah dibunuh oleh panglimanya sendiri dan disokong oleh Siti Zubaidah.

Sejarah telah membuktikan bahawa Siti Zubaidah merupakan seorang wanita yang tabah serta kuat semangat. Pengorbanannya sebagai seorang isteri untuk menyelamatkan suami serta kerajaannya telah menjadi lagenda bahkan kisahnya juga turut dijadikan syair oleh masyarakat Melayu.

SITI_Z

Dalam syair tersebut, jelas menceritakan bahawa Siti Zubaidah merupakan seorang wanita yang berani serta serba tahu dalam soal pentabdiran negeri. Siti Zubaidah juga digambarkan sebagai seorang yang alim dan tinggi pengetahuannya dalam agama Islam. namun, kisah Siti Zubaidah ini jarang diketengahkan lantaran ibu saudaranya, Cik Siti Wan Kembang juga merupakan seorang wanita yang cukup hebat yang mana baginda telah berjaya memerintah Kelantan dengan masyhurnya.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.