Kubur Lama Di Tengah Masjid Razaleigh Bandar Lama Gua Musang

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kubur siapa yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan sementelah hal ini belum pernah ditemui di mana-mana masjid sama ada di dalam atau luar negara yang mana kubur orang awam berada dalam masjid.

image_9

Kebanyakan mereka yang datang dari luar daerah ini sudah tentu akan membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang tersimpan disebalik kubur tersebut.

Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia.

komunis

Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh mengenai serangan komunis di Bandar Gua Musang.

Catatan sejarah itu agak sukar untuk diedarkan kepada umum kerana ianya masih disimpan anak tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu benar-benar berlaku.

Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang wanita yang sarat mengandung iaitu Allahyarhamah Nik Mah Nik Soh yang juga adik perempuan Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid.

kubur

Ketika komunis menyerang Gua Musang, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis. Namun, Allahyarhamah Nik Mah gagal melarikan diri pada masa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung. Lantaran itu, Allahyarhamah terpaksa berselindung di dalam longkang berdekatan masjid namun diserang hendap oleh pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit.

Dalam kekalutan itu, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan untuk kebumikannya di bahagian tangga belakang masjid itu.

Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya lebih kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah yang bertambah ramai. Hal ini turut menyebabkan kubur terbabit berada di tengah-tengahnya.

Dalam catatan sejarah Allahyarham Nik Jaafar, beliau mengatakan bahawa beliau telah lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam.

Hal ini kerana, kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang telah musnah dibakar komunis yang mengganas serta merosakkan semua harta benda penduduk. Nik Mah dibunuh kejam dalam serangan komunis itu bersama 25 orang Melayu selepas terperangkap ketika berselindung dalam longkang berkenaan.

komunis

Ada juga yang dibunuh ketika cuba menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai Jalan Besar untuk menyelamatkan diri. Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai. Tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang Melayu bagi merampas harta termasuk makanan.

Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana tanaman dimusnahkan komunis. Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada orang ramai berhubung perkara tersebut dan menjadi kenangan sepanjang masa.

Sumber:Sinar Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.