Lawatan Henry Norman, Ahli Parlimen British Ke Kelantan Pada 1890

Pada bulan Julai 1890, seorang ahli parlimen British yang bernama Henry Norman telah membuat lawatan ke Timur Jauh, termasuk Semenanjung Tanah Melayu. Ketika berada di semenanjung, beliau telah melawat Kelantan melalui sungai dari negeri Pahang. Beliau telah menaiki rakit dari Ulu Kelantan hingga ke Kota Bharu.

henry

Semasa bermalam di atas rakitnya di tepi tebing Sungai Kelantan di kampong Pasir Pekan yang berhadapan dengan Kota Bharu, Henry Norman telah didatangi oleh empat orang Putera Raja iaitu adik-beradik kepada Sultan Muhammad III yang baru saja menaiki takhta sebagai Kelantan.

Dalam pertemuan selama empat jam itu, Henry Norman telah mendengar cerita yang amat menarik dan mendebarkan mengenai pergolakan politik Kelantan pada ketika itu. Putera-putera raja telah memberitahu beliau bahawa saudara meraka iaitu Sultan Muhammad III bukanlah raja yang sebenar. Baginda telah merampas kuasa diRaja dan telah menggunakan banyak wang, termasuk yang diperolehi daripada harta pusaka untuk dihadiahkan kepada pegawai-pegawai Siam bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap kedudukan baginda sebagai Raja pemerintah Kelantan.

Putera-putera raja tersebut mengatakan bahawa Sultan Muhammad III merupakan seorang Raja yang zalim kepada setiap orang termasuk kepada diri mereka sendiri. Baginda telah mengeluarkan perintah supaya menyingkirkan dan mengusir orang Puteh yang masuk atau datang ke negeri Kelantan. Baginda amat dibenci oleh semua orang termasuklah rakyat baginda sendiri.

norman

Empat orang putera itu juga menyatakan mereka sedang merancang untuk memberontak tetapi mereka tidak mempunyai senjata dan wang yang cukup, mereka juga bertanyakan kepada Henry Norman adakah Gabenor British di Singapura boleh bersimpati dengan perjuangan mereka serta menolong mereka.

Henry Norman hanya mendengar sahaja aduan mereka itu dan tidak membuat sebarang janji. Sebelum meninggalkan Henry Norman di akhir pertemuan itu, salah seorang daripada mereka yang dicadangkan untuk menjadi Sultan telah menghadiahkan sebilah pisau penikam yang kecil bertatah emas (badik) sebagai cendermata perpisahan kepada Henry Norman.

Walaupun Henry Norman tidak menyebut nama keempat-empat putera raja Kelantan yang telah datang berjumpa dengannya di waktu tengah malam itu, kita boleh simpulkan ianya adalah Tuan Mansor yang menggantikan Sultan Muhammad III pada bulan Mei tahun 1891 sebagai Raja Kelantan dan bergelar Sultan Mansor pada tahun 1897 hingga tahun 1899. Henry Norman menyebut baginda sebagai seorang pemuda yang sangat cerdik dan sopan santun.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.