Mengimbau Kisah Cinta Lagenda Bola Sepak Kelantan

Ungkapan jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan sememangnya satu kata yang cukup sinonim apabila berbicara mengenai penyatuan dua hati dan jiwa.

Meskipun dicari diseluruh pelosok dunia sekalipun, namun pasangan hidup yang ditakdirkan itu, sebenarnya sudah lama berada di hadapan mata, hanya menanti masa dan waktu yang sesuai untuk setiap pasangan itu diijabkabulkan dalam satu ikatan yang suci.

image_7

Begitulah kisah cinta yang berlaku antara legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha, 51, dan isterinya, Zaheran Hussin, 47, apabila sekian lama tinggal berjiran di Kampung Khatib Ali di Kota Bharu, Kelantan sehingga akhirnya jatuh cinta dan seterusnya menjadi pasangan sehidup semati.

Lebih indah, Zaheran, anak kedua daripada empat beradik itu merupakan cinta pandang pertama Hashim meskipun pada saat perkahwinan mereka itu, Hashim sedang berada di puncak populariti sebagai bintang bola sepak terkenal negara.

hashim

Apabila hati sudah suka, kasih sayang semakin membuai rasa, ditambah pula dengan jodoh yang kuat, akhirnya ikatan perkahwinan menjadi jawapan kepada kisah cinta mereka. Sungguh indah takdir yang ditetapkan tuhan untuk mereka. Jatuh cinta pandang pertama yang membawa kepada perkahwinan yang suci.

Pasangan tersebut bersatu sebagai pasangan suami isteri pada 31 Januari 1991 dan kini mengharungi detik-detik bahagia dengan dikurniakan dua puteri yang berusia 25 dan 22 tahun manakala putera bongsunya berusia, 20 tahun.

Mengimbas kembali perkenalan pasangan itu, Hashim yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan pasukan bola sepak Kelantan berkata, mereka sempat menyulam cinta selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersatu sebagai suami isteri.

Katanya, ketika cinta sedang mekar, Hashim pada masa itu baru berumur 18 tahun manakala isterinya masih belajar di tingkatan dua.

Hashim yang juga bekas penyerang kebangsaan, Kelantan dan Kedah sekitar era 90-an itu berkata, secara kebetulan pada masa itu, dia berkawan rapat dengan abang Zaheran dan sering kali berkunjung ke rumah.

image_8

“Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya aktif bermain bola sepak bersama pasukan Kelantan dan menetap di rumah sewa, tidak jauh dari kediaman Zaheran.

“Saya sering kali berkunjung ke rumah Zaheran untuk berjumpa abangnya. Pada masa itu, saya selalu melihat Zaheran. Saat bertentang mata buat kali pertama, saya sudah jatuh cinta dan menanam tekad ingin menjadikan wanita itu sebagai isteri.

“Saya kemudian memberanikan diri meluahkan isi hati. Saya tidak bertepuk sebelah tangan, Zaheran juga sebenarnya menyimpan perasaan sama,” katanya yang pernah memenangi anugerah kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia pada tahun 1993 dan 1994.

Tambahnya, perjalanan cinta mereka berjalan seperti pasangan lain sehinggalah dia bertindak melamar Zaheran untuk dijadikan isteri.

“Semasa bercinta, kami tidak selalu keluar bersama. Jika hendak berjumpa Zaheran, saya akan pergi ke rumah. Selain itu, saya juga rapat dengan bapa Zaheran yang sangat meminati sukan bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Hashim yang terkenal dengan jolokan Sang Helang daripada peminat bola sepak tanah air pada era itu berkata, isteri sangat memahami dirinya dan sentiasa menyokongnya sebagai pemain bola sepak yang menuntutnya memberi 100 peratus komitmen di atas padang.

Katanya, sebagai seorang pemain bola sepak yang menjadi perhatian pada era 1990-an, dia tidak boleh lari daripada peminat fanatik termasuk dalam kalangan wanita, namun semua itu berjaya difahami dan diterima dengan baik oleh isteri.

download

Ujarnya, Zaheran juga sentiasa membantu dirinya daripada segala aspek selain berada disisinya saat suka dan duka.

“Hidup saya dengan bola sepak, setiap hari saya menghabiskan masa dengan sukan ini. Bagaimanapun saya beruntung mempunyai isteri yang cukup memahami.

“Saya bersyukur dikurniakan seorang isteri sepertinya (Zaheran). Jatuh, bangun saya, Zaheran sentiasa ada,” katanya.

Tambahnya, Zaheran juga merupakan seorang isteri yang cukup istimewa, sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, dia berjaya menguruskan hal rumah tangga dengan begitu baik.

“Ketika beraksi di atas padang, saya tidak pernah mengizinkan dia berada di stadium. Zaheran hanya menyaksikan perlawanan di televisyen, di rumah. Saya tidak galakkan dia berada di stadium.

“Sebagai seorang pemain bola sepak, saat kita berada di puncak prestasi, kita akan dijunjung oleh peminat dan sekiranya berlaku sebaliknya, kita akan dimaki serta dikecam oleh peminat.

“Saya tidak mahu isteri dan anak-anak kecil hati dengan situasi seperti itu, lebih baik mereka berada di rumah,” kata Hashim yang sentiasa memuji perwatakan serta keistimewaan masakan isterinya.

Kini anak pasangan itu, Mohd. Aiman Shakir mengikut jejak langkah bapanya dan sedang beraksi bersama skuad Harimau Muda C. Sumber Utusan Online (2015).

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.