Misteri Restoren Sate Ghaib Di Lebuhraya Pasir Mas-Salor, Kelantan

Anda masih ingat tentang kejadian misteri yang melibatkan Restoren Sate yang berlaku pada bulan Jun 2005?. Mesti ramai pembaca orangkelantan.com sudah sedia tahu tentang kejadian misteri yang berlaku di Lebuhraya Pasir Mas-Salor ini. Restoren Sate Ghaib ini dikatakan wujud di kawasan berhampiran Tanah Perkuburan Ujit dan restoren tersebut dipercayai milik makhluk halus yang mendiami kawasan itu. Kejadian misteri yang melibatkan Restoren Sate di lebuhraya itu mula heboh diperkatakan oleh masyarakat Kelantan apabila ramai penduduk kampung menjadi mangsa.

Restoren

Hal berkenaan Restoren Sate Ghaib itu bertambah heboh apabila orang ramai yang melalui lebuhraya itu terpaksa menggunakan laluan umum kenderaan terutamanya mereka yang dari Pasir Mas ke Kota Bharu yang juga berhampiran kawasan tanah perkuburan tersebut. Menurut cerita salah seorang pemuda dari Pasir Mas yang turut menjadi mangsa, menceritakan bahawa beliau dalam perjalanan dari arah Pasir Mas untuk ke Kota Bharu dan kejadian misteri yang dialaminya itu adalah sekitar jam 2.00 pagi. Menurut cerita pemuda tersebut, beliau telah ternampak sebuah restoren yang dipenuhi orang ramai dan kebetulan waktu itu beliau berasa lapar dan tanpa berfikir panjang, beliau turut singgah untuk mengisi perutnya.

Di restoren itu, beliau telah memesan semangkuk mi berkuah serta turut memesan sate untuk dibawa pulang dan bercadang untuk mengambilnya dalam perjalanan pulang selepas urusan beliau di Kota Bharu selesai. Bayaran sebanyak RM17 telah dihulurkan kepada juruwang di restoren tersebut. Terdapat lima orang pelayan restoren yang cantik-cantik menurut beliau.

jalan"

Selepas selesai urusan beliau di Kota Bharu, beliau bergegas pulang dengan niat untuk mengambil sate yang ditempahnya sebelum ini. Namun, bagaikan mimpi apabila beliau mendapati restoren yang disinggah sebelum ini telah tiada melainkan tempat beliau berdiri waktu itu merupakan kawasan tanah perkuburan. Bertambah seram apabila beliau mendapati wang sebanyak RM17 untuk tempahan sate ada di atas sebuah batu nisan di tanah perkuburan itu.

nisan

Pemuda tersebut merasa tidak puas hati dengan apa yang dialaminya sebentar tadi dan setelah sampai ke rumahnya, beliau cuba untuk memuntahkan isi perutnya. Alangkah jijik dan gelinya apabila banyak cacing yang keluar dari dalam perut beliau. Daripada cerita pemuda ini, orang tua-tua di kampung tersebut percaya bahawa Restoren Sate di lebuhraya itu adalah milik hantu pari ataupun makhluk halus yang mendiami kawasan tanah perkuburan di sekitar lebuhraya tersebut. ‘Mereka’ dikatakan mula mengganggu penduduk kampung setelah adanya projek lebuhraya yang dianggap menceroboh tanah perkuburan di situ. Mungkin ‘mereka’ ini merasa terancam dan terganggu dengan tindakan manusia, disebabkan itulah ‘mereka’ mula memunculkan diri di mata manusia.

cacing

Terpulang kepada pembaca untuk percaya atau tidak dengan kejadian ini. Namun, sebagai manusia beragama Islam, kita tidak dapat menafikan kewujudan makhluk halus ini kerana mereka juga merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T dan sebenarnya, dalam dunia ini banyak tempat yang dihuni oleh ‘mereka’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia lebih-lebih lagi kawasan yang belum diterokai.

bunian

Namun, jika ‘mereka’ merasa kehidupan ‘mereka’ terancam, maka ‘mereka’ akan mula mengusik sesiapa sahaja terutamanya individu yang lalai, lemah semangat dan tidak kuat pegangan agamanya. Justeru itu, kita perlu sentiasa beringat bahawa yang ada di dunia ini bukan setakat manusia sahaja bahkan, ada makhkluk-makhluk lain yang ‘hidup’ di alam ghaib. Jadi, jika anda tidak ingin menjadi mangsa ‘mereka’, sentiasalah mendekatkan diri kepada Allah, nescaya kita dalam jagaanNya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.