Mitos Kisah Hantu Menyerupai Beruk di Tumpat Kelantan

Di daerah Tumpat, terdapat sebuah perkampungan Siam yang agak terpencil yang dikenali sebagai Kampung Berok. Dikatakan, terdapat pelbagai versi kenapa kampung tersebut diberi nama Kampung Berok. Ada yang mengaitkan kampung tersebut dengan mitos hantu yang menyerupai seekor berok yang sering mengganggu penduduk di sekitar sempadan kampung Berok dengan Pasir Mas. Satu lagi versi mengatakan, dahulunya ada seorang sami di kampung tersebut memelihara seekor berok besar di dalam kuil Buddha namun, berok tersebut telah hilang dipercayai dicuri. Sumber dipetik daripada Sinar Harian, 2014.

kuil

berok

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, kampung ini dahulunya merupakan sebuah kampung yang sunyi dan hanya didiami oleh 10 keluarga sahaja. Menurut cerita seorang penduduk asal kampung tersebut iaitu Mek Kecur Chaw Din, 79, beliau mengatakan cerita mengenai hantu yang menyerupai berok besar tiba-tiba tersebar merata tempat ditambah lagi apabila ada penduduk yang mendakwa diusik hantu ketika melalui kawasan alur di hujung kampung.

Menurut beliau, Kampung Berok sememangnya sunyi dan turut dipenuhi hutan yang tebal. Pun begitu, kawasan tersebut tetap menjadi laluan penduduk kampung dari kampung sekitar terutamanya mereka yang datang dari Pasir Mas untuk ke bandar Kota Bharu. Bahkan, jalan di kawasan kampung tersebut dahulunya hanyalah jalan laluan kerbau yang berselut disamping dikelilingi dengan pokok sagu.

sagu

Berbalik kepada cerita hantu tadi, penduduk Kampung Berok itu sendiri tidak pasti bagaimana cerita mengenai hantu berok di hujung kampung itu muncul kerana ianya dikatakan tiba-tiba sahaja tersebar dalam kampung berkenaan. Menurut cerita yang sering menjadi buah mulut orang, sesiapa sahaja yang melalui kawasan alur yang sunyi itu pasti akan diganggu. Hantu berok yang diperkatakan itu akan menggoyangkan pokok sagu untuk menakutkan mereka yang melintasi kawasan tersebut.

Cerita mengenai hantu berok yang berlaku semasa zaman kanak-kanak Mek Kecur Chaw Din telah menjadikan kampung tersebut popular dalam kalangan masyarakat Kelantan sehingga mendapat nama Kampung Berok sehingga sekarang. Namun begitu, nama Kampung Berok telah ditukar kepada nama baru iaitu Kampung Jambu kerana merasakan nama Kampung Berok tidak lagi sesuai digunakan pada masa kini.

jambu

Walaubagaimanapun, bagi Eh Deng Eh Chek yang merupakan Pengawai Penggerak Masyarakat Wilayah Timur menyangkal tentang cerita hantu berok yang diperkatakan oleh masyarakat setempat dan bertambah pelik apabila cerita tersebut hanyalah menular dalam masyarakat Melayu sahaja tetapi tidak kepada masyarakat Siam dari luar kampung berkenaan. Bagi beliau, nama kampung Berok diambil berdasarkan kisah seorang sami Buddha yang memelihara seekor beruk besar di kuil. Ceritanya bermula apbila kuil tersebut dimasuki pencuri dan apa yang dicuri hanyalah berok besar kepunyaan sami tersebut.

wat

Hal mengenai kuil yang dimasuki pencuri dan berok sami hilang dicuri telah tersebar di Kampung Jambu menyebabkan kampung tersebut mendapat nama Kampung Berok. Namun, kini nama Kampung Berok telah ditukar kepada Kampung Jambu kerana nama berok itu sendiri kedengaran kurang baik. Tambahan pula, kampung tersebut talah pun menjadi tumpuan pelancong lantaran adanya “Sleeping Buddha” iaitu Wat Photivihan yang merupakan patung terbesar di Asia Tenggara. Pun begitu, walaupun nama Kampung Berok telah ditukar kepada kampung Jambu, masih ramai penduduk kampung yang memanggil kampung tersebut sebagai Kampung Berok terutamanya bagi masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.