Muzium Islam Di Jalan Sultan Kota Bharu, Kelantan

Gelaran negeri Cik Siti Wan Kembang amat sinonim dengan Kelantan bahkan nama ini juga turut popular dalam kalangan masyarakat luar Kelantan. Begitu juga, Kelantan dengan jolokan negeri Serambi Mekah yang sememangnya kaya dengan warisan budaya yang telah dipelihara oleh pihak berwajib untuk tatapan generasi akan datang. Terdapat banyak bangunan-bangunan yang mempunyai nilai tinggalan sejarah dan warisan dalam masyarakat terdahulu yang penting untuk kita pelihara termasuklah Muzium Islam yang terletak di Jalan Sultan Kota Bharu, bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan juga Memorial Perang Dunia Kedua.

Islam

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Muzium Islam ini juga merupakan bekas pejabat lama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Bangunan ini adalah salah sebuah bangunan yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk yang unik di bandar Kota Bharu serta masih dipelihara sehingga ke hari ini. Kerja-kerja pengubahsuaian bangunan ini telah dimulakan sejak awal tahun 1991. Muzium yang menelan perbelanjaan sebanyak RM218 000.00 ini telah siap sepenuhnya menjelang perasmian bangunan tersebut pada 11 September 1991.

muzium2

Pada asalnya, bangunan ini merupakan rumah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Encik Hassan bin Mohd Salleh. Pembinaannya adalah berasaskan gaya rumah Melayu-Pattani yang bermodelkan penghujung abad ke-19 dan abad ke-20 yang dibina pada tahun 1902. Setelah diubahsuai, bangunan ini telah memuatkan Muzium Islam, Perpustakaan Islam dan asrama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz al-Quran.

muzium

Ukiran pada bangunan ini dilakukan dengan sangat teliti dan menarik yang mana ianya bercirikan citarasa Islam. Berbagai-bagai jenis ukiran menghiasi setiap pintu tingkap dan ruang. Pada sesetengah tempat pula kelihatan ukiran-ukiran ini memagari ayat-ayat suci al-Quran yang digubah dalam satu seni reka khat yang kemas dan menarik. Daun tingkapnya pula dibuat seperti sisik angin untuk membolehkan udara masuk secara semulajadi walaupun tingkapnya tertutup.

image

Pada tahun 1905, bangunan ini dipilih menjadi tempat sambutan lawatan Maharaja Siam iaitu Maharaja Chulalongkorn Rama V ke Kota Bharu. Bangunan ini pernah diubahsuai sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1917 dan 1962 setelah ianya dibeli oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Pengubahsuaian ini terpaksa dilakukan bagi menyesuaikan keadaan sebuah rumah kediaman kepada ruang-ruang pejabat. Tidak dapat dinafikan bahawa telah berlaku sedikit pindaan dan perubahan lebih-lebih lagi semasa pengubahsuaian pada tahun 1991 yang merupakan pengubahsuaian yang paling besar pada bangunan ini.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.