Muzium Orang Asli Jeli, Kelantan

Seperi yang kita sedia maklum, masyarakat Orang Asli merupakan populasi kedua penduduk yang mendiami daerah Jeli, Kelantan. Kedudukan daerah Jeli ini dikatakan strategik dan menjadi penempatan utama komuniti Orang Asli di semenanjung Malaysia.

muzium

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, daerah Jeli terletak di pinggir banjaran Titiwangsa yang bermula sekitar Gubir, Perak menuju ke Selatan melalui Grik, Ipoh, Bidor, Cameron Highlands, Gua Musang yang terus menganjur ke Raub dan Tanjong Malim.

orang

Bagi mengabadikan sejarah silam masyarakat Orang Asli terutamanya untuk tujuan penyelidikan sejarah lampau, sebuah muzium telah ditubuhkan khas untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah-sejarah peninggalan serta latar belakang Orang Asli. Muzium tersebut ialah Muzium Orang Asli Jeli yang terletak di daerah Jeli.

Pameran

Pada awalnya, Muzium Orang Asli Jeli ini ditubuhkan pada 1987 di sebuah bangunan kayu dan berada di tengah-tengah daerah Jeli. Mulanya, muzium ini berfungsi sebagai pusat pameran dan kraftangan Orang Asli. Namun, menjelang 2011, muzium ini telah dinaiktaraf yang kini dikenali sebagai Muzium Orang Asli. Muzium ini dibuka untuk lawatan orang ramai bermula hari Ahad hingga Khamis dan masuk adalah percuma.

Kraftangan

Muzium Orang Asli Jeli ini juga turut menjadi bukti kewujudan masyarakat Orang Asli di Kelantan walaupun kewujudannya kurang popular berbanding Orang Asli di Gua Musang. Dengan adanya muzium ini, orang ramai berpeluang untuk melihat bagaimana cara hidup Orang Asli berdasarkan maklumat yang dipamerkan sesuai dengan objektif muzium yang bertujuan untuk mengabadikan sejarah silam masyarakat Orang Asli sebagai bahan sejarah, pusat penyelidikan dan budaya serta latar belakang masyarakat Orang Asli dan mengumpul, memelihara serta mempamerkan semula bentuk warisan budaya peninggalan Orang Asli yang merupakan penduduk asal Jeli.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.