Nama Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Tetap Terpahat Dalam Ingatan Rakyat Kelantan

Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Beliau dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Beliau telah berkahwin dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, yang berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu pada tahun 1962 dan dikurniakan 10 cahaya mata, lima perempuan dan lima lelaki. Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

tuan

Sewaktu usia 9 tahun, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz telah dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Beliau menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian tersebut terpaksa dihentikan buat seketika. Pada masa ini juga, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

nikaziz

Dalam usia yang muda, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dapat menguasai kitab Asmuni iaitu sebuah kitab nahu yang agak tinggi setanding dengan murid-murid yang lebih tua. Pada tahun 1945, Tuan Guru telah menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Selepas itu, beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Pada 1957 pula, beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Manakala pada 1958, Tuan Guru menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab yang kemudiannya menyambung lagi pelajaran beliau sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz telah mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanah air pada Februari 1962.

guru

Setelah kembali ke tanah air iaitu pada tahun yang sama, Tuan Guru telah membuka sebuah sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudaranya, Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi pula beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun. Menjelang 1 Januari 1964, beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz telah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat dari tahun 1971 sehingga 1995. Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang mengambil alih tempat Tuan Haji Yusuf Rawa. Pada tahun 1978, Tuan Guru telah diangkat menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan dan pada Oktober 1990, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan. Walaupun sudah bergelar Menteri Besar Kelantan, beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam untuk memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Nik1

Tuan Guru merupakan seorang pemimpin yang sangat mementingkan ilmu. Buktinya, setiap malam Jumaat dan Khamis, beliau akan mengajar dan setiap pagi Jumaat pula akan diadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia bahkan ianya merupakan pekerjaan para Anbia’. Kehidupan Tuan Guru sangat sederhana. Rumahnya juga merupakan rumah kayu dengan senibina kampung. Pemakaian beliau juga sederhana dan tdak pernah tampak mewah. Boleh dikatakan pakaian rasmi beliau hanyalah baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban.

Nik

Selama menjadi Ahli Parlimen, Tuan Guru banyak menyumbangkan idea, saranan dan kritikan yang disampaikan dalam ucapan-ucapan beliau di Dewan Rakyat. Sepanjang hayatnya juga, beliau sentiasa berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran ‘Serambi Mekah’ yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan. Istimewanya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz yang sentiasa merendah diri dan mementingkan ilmu agama disamping memastikan kesejahteraan hidup rakyat Kelantan sentiasa terjamin.

Kini, Kelantan telahpun kehilangan beliau pada tahun 2015 yang lalu. Tepat jam 9.40 malam jumaat. Semoga Allah mencucuri roh beliau dan menerima segala amal ibadat beliau serta ditempatkan bersama mereka yang bertaqwa. Al-fatihah buat Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.