Pantai Sri Tujoh Bawa Ketenangan

Pantai Sri Tujuh merupakan salah satu pantai yang terletak di jajahan Tumpat. Menurut cerita orang tua dahulu, pantai ini dinamakan Pantai sri Tujoh kerana dikatakan terdapat tujuh buah teluk di kawasan ini. Teluk-teluk ini kemudiannya telah membentuk pantai. Tujuh teluk inilah yang telah menjadi inspirasi untuk menamakan pantai tersebut sebagai Pantai Sri Tujuh. Pantai Sri Tujuh merupakan salah satu tempat rekreasi yang menarik serta sesuai bagi mereka yang ingin bersantai tanpa melakukan sebarang aktiviti lasak.

tujuh

Suasana damai yang ada disini mampu menenangkan fikiran dan sangat sesuai bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukkan kota ataupun bebanan kerja. Pemandangan di bawah pohon rhu juga sangat cantik ditambah lagi ketika waktu tengah hari. Cahaya matahari yang bersinar di sebalik pohon rhu sangat menenangkan hati bahkan mampu menggamit satu perasaan yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hanya rasai indahnya ciptaan Allah S.W.T, dapat melapangkan dada serta hilangkan segala tekanan.

pohon rhu

Pantai Sri Tujuh ini juga tidak pernah putus dengan kunjungan orang ramai termasuklah pelancong luar yang ingin bersantai di pantai ini. Suasananya sangat meriah lebih-lebih lagi ketika waktu cuti, ramai keluarga yang datang berkelah ke sini. Gerai-gerai makanan juga banyak didirikan serta menjual pelbagai makanan laut yang pastinya menyelerakan. Deretan gerai-gerai makanan inilah yang menambahkan lagi kemeriahan yang ada di Pantai Sri Tujoh yang tidak pernah lekang dengan pengunjungnya.

kedai makan

Di pantai ini juga, terdapat sebuah masjid yang tersergam indah yang dibina untuk kegunaan orang awam. Manakala, bersebelahan Pantai Sri Tujuh, terdapat satu lagi pantai yang dikenali sebagai Pantai Geting. Pantai Geting ini juga terkenal dalam masyarakat Melayu dan sering dijadikan sebagai destinasi berkelah bersama keluarga. Di Pantai Geting ini juga, sering diadakan acara-acara yang pastinya akan memukau hati pengunjung. Antara acara yang sering diadakan di Pantai Geting ini ialah Pesta Wau kebangsaan. Pesta ini tidak pernah mengecewakan pengunjung dengan adanya pelbagai jenis wau yang dipertontonkan.

masjid

pesta wau

Acara-acara sebegini pastinya akan menggembirakan pengunjung yang sememangnya memerlukan sesuatu yang mampu membuatkan mereka terlupa akan bebanan kerja mahupun masalah yang dihadapi. Ditambah dengan adanya pantai yang cantik serta menenangkan jiwa, pasti hal ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka. Kenangan berada di pantai juga bukanlah sesuatu yang dapat dilupakan dengan mudah kerana pantai itu sendiri mampu mencipta kenangan terindah kepada tetamunya.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.