Pasar Terapung Pulau Suri, Tumpat

Di daerah Tumpat, terdapat sebuah kawasan yang dikenali sebagai pasar terapung yang berlokasi di Pulau Suri. Pasar terapung ini telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 17 September 2016. Ianya dibuka setiap hari Sabtu, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Pasar terapung ini merupakan pasar terapung pertama yang dibuka di Malaysia yang dikelilingi panorama alam semulajadi yang unik dan cantik.

pulau

Pasar terapung di Pulau Suri ini telah menjadi salah satu daya tarikan pelancongan yang baru di daerah Tumpat, Kelantan. Pasar terapung ini sememangnya mampu memberi satu kelainan suasana dan pengalaman kepada pengunjung luar misalnya untuk merasai sendiri suasana kampung dan sungai.

pasar2

Terdapat pelbagai makanan yang dijual, terutamanya makanan asli Kelantan seperti kerabu nipoh, lokan bakar, nasi tumpang, ketupat sotong, bubur chacho, biji butir nangka, kuih belebab, tepung suna, etok salai, dan banyak lagi makanan-makanan yang menjadi budaya masyarakat Kelantan.

terapung

Selain makanan, barangan kraftangan seperti batik dan atap nipah juga ada dijual sini dan pastinya harga setiap barangan yang dijual adalah berpatutan dan mampu milik. Tujuan pasar terapung ini dibuka adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk di samping menjadikannya sebagai salah satu daya tarikan pelancongan.

jeti

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, untuk sampai ke pasar terapung ini, pengunjnung boleh menaiki bot berbayar di Jeti Kuala Besar yang terletak di Kota Bharu. Perjalanan dari jeti ke pasar terapung Pulau Suri ini hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Bagi anda yang ingin merasai suasana kampung dan membeli-belah di pasar terapung, bolehlah berkunjung ke sini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.