Penubuhan Penjara Pengkalan Chepa Di Kelantan

Penjara Pengkalan Chepa dahulunya dikenali sebagai Penjara Kelantan. Penjara ini terletak kira-kira 8 kilometer dari Bandar Kota Bharu dan mula beroperasi pada 17 Ogos 1950. Sebelumnya, penjara ini terletak di Bandar Kota Bharu iaitu di Bangunan Pejabat Kawalan Bawaan Vektor Negeri Kelantan, Jalan Mahmood, Kota Bharu di hadapan Stadium Sultan Muhammad ke IV atau bersebelahan dengan Gelanggang Seni. Bangunan tersebut masih lagi utuh sehingga kini dan telah diubahsuai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

penjara4

Penjara Pengkalan Chepa yang sekarang terletak di atas tanah seluas 26.45 hektar yang mana 10.2 hektar digunakan sebagai Penjara dan selebihnya digunakan sebagai kawasan perumahan dan padang permainan. Penjara ini pada awal penubuhannya dikenali sebagai Penjara Terbuka yang merupakan Penjara Terbuka Pertama di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. Konsep Penjara Terbuka ini diambil daripada Sistem Witz Will di Bern, Switzerland pada tahun 1875. Pada 2 Feberuari 1994, Penjara ini telah diwartakan (KDNS 171/1355 Klt.2 Pindaan (PU2) 163/11) di bawah Pentadbiran yang diketuai oleh Pegawai Penjara berpangkat Penguasa Kanan Penjara.

penjara5

Penjara Pengkalan Chepa ini dipecahkan kepada 2 Bahagian iaitu Penjara Lelaki dan Penjara Wanita yang mana penjara ini kini dapat menampung melebihi 1,000 orang banduan yang terdiri daripada beberapa kategori hukuman dan tahanan seperti Banduan Akhir, Banduan Seumur Hidup, Banduan Hukuman Lama, Banduan Hukuman Singkat, Tahanan Mahkamah Tinggi, Tahanan Mahkamah Sesyen, Tahanan Mahkamah Majistret, Banduan Dagang dan Tahanan Imigeresen.

penjara3

Sepanjang tempoh menjalani hukuman, banduan akan diberi Latihan Vokasional seperti Bengkel Pertukangan Kayu, Bengkel Kimpalan, Bengkel Pertukangan Rotan, Bengkel Jahit, Bengkel Batik, Pembinaan Bangunan, Bengkel Elektrik, Kebun Sayur dan lain-lain. Disamping memberi Latihan Kemahiran Hidup yang boleh menjadi sumber rezeki bila dibebaskan nanti, Pendidikan Agama juga turut diajar sebagai cara untuk memulihkan akhlak mereka yang mana aktiviti ceramah agama dan sembahyang berjemaah diamalkan di Institusi ini.

Selain daripada Latihan Vokasional dan Pendidikan Agama, banduan-banduan juga (terutama yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah) turut diberi bimbingan kaunseling. Manakala, pada sebelah petang akan diadakan aktiviti-aktiviti sukan untuk menghilangkan rasa bosan dan mewujudkan keharmonian hidup di antara mereka.

penjara2

Banduan juga merupakan insan yang mempunyai perasaan kasih sayang dan rindukan keluarga, maka dengan itu keluarga mereka dibenarkan melawat mereka sekurang-kurangnya sekali sebulan, tiga minggu sekali, dua minggu sekali dan tiap-tiap minggu mengikut peringkat banduan. Setiap perjumpaan diperuntukan masa selama 30 minit dengan menggunakan ‘intercom’ bagi membolehkan keluarga banduan memberi nasihat agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu dan sekurang-kurangnya menghilangkan sedikit rindu mereka.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.