Pukul, Ugut Bunuh Isteri Jika Keluar Bekerja

KOTA BHARU-Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun dan denda RM4,000 oleh mahkamah majistret, akibat memukul dan mengugut untuk mencederakan isterinya

pukul

Majistret, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Nor Azman Abdul Rahman @ Razali, 45, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap wanita warga Thailand itu, Miss Maehdah, 23, dengan berkata akan membunuhnya sekiranya mangsa keluar dari rumah untuk pergi bekerja di Jalan Bayam, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 15 Oktober lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

pukul1

Nor Azman juga mengaku salah atas dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menampar muka dengan tangan di lokasi sama, pada jam 4 petang, 13 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum dua tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam awam.

Semalam, mahkamah turut mendengar keterangan impak mangsa yang memberitahu dia trauma serta ketakutan akibat kejadian tersebut sehingga tidak boleh berniaga selain memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal.

Azrul kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau 8 bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan pertama, manakala hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh tangkap 15 Oktober lalu bagi kesalahan kedua.

Tertuduh tidak menjelaskan denda itu dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini, bagi menjalani hukuman.

Sumber: Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.