Puteri Saadong ‘Hidup’

Menggunakan dialek Kelantan dan Siam sepenuhnya dengan memasukkan elemen budaya yang sebati dengan rakyat negeri di Pantai Timur itu seperti Main Puteri, Asyik dan Wau Bulan menjadikan pementasan Puteri Saadong: Pengorbanan Seorang Puteri di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, (2016) ini hidup dan meninggalkan impaknya tersendiri.

saadong2

Walaupun kisah Puteri Saadong pernah dipentaskan dalam pelbagai versi oleh penggiat teater tempatan, olahan baharu oleh produksi Castaways Production telah berjaya membawa khalayak menyusuri leluhur budi wanita yang layak digelar srikandi Melayu kerana ketabahannya dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Buka panggung Puteri Saadong: Pengorbanan Seorang Puteri dimulakan dengan kemunculan watak penglipurlara atau tukang cerita yang mengenakan busana lengkap pahlawan Melayu dan berdialog dalam bahasa Melayu baku sebagai pemudah cara kepada khalayak untuk memahami jalan ceritanya yang dilatari dialek Kelantan dan Siam.

Walaupun menggunakan dialek Kelantan dan Siam yang ‘pekat’, ia masih mudah untuk difahami khalayak kerana sebutan serta lontaran suara yang jelas dan aksi meyakinkan setiap pemainnya.

saadong3

Tidak menokok-tambah daripada kisah asal yang diceritakan sejak turun temurun, namun percaturan Pengarah Puteri Saadong: Pengorbanan Seorang Puteri, Muhamamad Hidayat Azman yang tampil dengan skrip yang kuat dengan fokus seimbang diberikan kepada watak penting seperti Puteri Saadong, Raja Abdullah dan utusan Kerajaan Siam, Phraya Decho menguatkan lagi jalan cerita.

Bahkan, tempoh dua jam menonton teater berkenaan seakan-akan tidak terasa kerana kebijaksanaan pengarah dalam menghidupkan setiap watak terutama lakonan mantap Puteri Saadong oleh penggiat teater muda, Sarah Aliya Azahar yang sentiasa dalam karakter sebagai permaisuri yang lemah lembut, luhur budi pekerti dan penuh kesopanan.

saadong1

Selain itu, kelincahan Nurul Amirah Abdul Halim juga menyerlah dalam membawa watak utusan Raja Siam dan kebolehannya bertutur dalam bahasa Siam dengan baik serta tangkas beraksi untuk babak pertempuran membabitkan tentera Siam dan penduduk di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Selingan tarian yang memaparkan keindahan budaya di Kelantan juga ditampilkan bersesuaian dengan babak, antaranya kemunculan primadona yang mempersembahkan tari Melayu klasik kebiasaannya pada istiadat diraja pada malam berinai perkahwinan Puteri Saadong dan Raja Abdullah.

Pada babak akhir yang juga klimaks pada kisah Puteri Saadong, digambarkan permaisuri jelita itu menghilangkan diri selepas menikam suaminya, Raja Abdullah dengan cucuk sanggul kerana tidak berpegang pada janji apabila berkahwin dengan Puteri Rokiah.

saadong5

Suasana pentas yang sengaja digelapkan menjadi begitu sayu dengan kemunculan penglipur lara bersama titipan pesanan akhir mengenai pengorbanan Puteri Saadong yang terus diingati, walaupun misteri mengenainya tidak pernah terjawab.

Apa yang tinggal ialah pelbagai andaian yang mengaitkan puteri jelita itu membawa diri ke Bukit Marak dan kemudian ghaib tanpa pengetahuan sesiapa.

Teater yang diadakan dengan kerjasama Pusat Kebudayaan, UM itu turut menonjol dengan set pentas seperti berada di istana Melayu dan kostum pelakon senada dengan tema cerita khususnya penggunaan kain songket serta batik yang sinonim dengan tradisi masyarakat dan kesultanan diraja zaman dulu.

Sumber: Berita Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.