Rahsia Bukit Panau Di Tanah Merah, Kelantan

Bukit Panau yang terletak di Tanah Merah, Kelantan dikatakan menyimpan sejarah yang berkaitan dengan Syed Hussein Jamadil Kubra dan Laksamana Hang Tuah. Bukit Panau ini terletak berdekatan Danau Tok Uban yang menyimpan banyak sejarah lampau dan amat menarik untuk kita terokai.

danau

Bukit Panau ini juga merupakan ‘Mount Ophir’ yang disebut dalam Kitab Yahudi yang mana tempat ini pernah dilawati oleh Nabi Sulaiman a.s. Namun, ada yang mendakwa ‘Mount Ophir’ tersebut merujuk kepada Gunung Ledang tetapi setelah adanya kajian yang dilakukan oleh pihak yang terlibat, ‘Mount Ophir’ ini sebenarnya merujuk kepada Bukit Panau.

b.panau

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Syed Hussein Jamadil Kubra merupakan ketua kepada Wali 7 yang telah belayar ke tanah Melayu untuk menyebarkan ajaran Islam. Mereka telah singgah di Bukit Panau sekitar tahun 1349 Masihi selepas membina Masjid Kampung Laut yang kini telah dipindahkan ke Nilam Puri, selepas beberapa kali masjid tersebut mengalami kerosakkan disebabkan banjir.

Bukit Panau telah menjadi tempat Wali 7 merancang dakwahnya ke Tanah Jawa. Tidak lama selepas itu, Syed Hussein Jamadil Kubra telah berangkat ke Tanah Jawa untuk merealisasikan rancangan dakwah mereka dan meninggalkan beberapa saudaranya di bumi Kelantan untuk menjaga kedaulatan Kelantan pada ketika itu.

panau

Diringkaskan, kisah Laksamana Hang Tuah juga turut dicatatkan dalam sejarah Bukit Panau yang mana Laksamana Hang Tuah bersama saudaranya yang lain telah berguru dengan Syeikh Thana’uddin yang memakai gelaran Adi Putera iaitu adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra. Syeikh Thana’uddin telah menetap di Bukit Panau dan menjadikan Bukit Panau sebagai tempat pertapaannya. Jarak antara Melaka dengan Bukit Panau sekitar 1400 Masihi dahulu adalah selama 7 hari 7 malam berjalan kaki.

bukit

Bukit Panau pada masa dahulu juga turut dijadikan sebagai penanda kepada pelaut antarabangsa kerana bentuk bukitnya yang unik seperti bentuk piramid dan dapat dilihat ketika berada di perairan Laut China Selatan. Sejarah Bukit Panau jika dikaji dengan lebih mendalam, pasti kita akan menemui pelbagai lagi kisah sejarah yang menarik yang pernah terjadi di kelantan suatu masa dahulu. Sejarah-sejarah sebegini perlu dipelihara agar ianya tidak terus tenggelam walaupun dunia sudah pun mencapai arus kemodenan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.