Raja Jembal Di Kelantan

Salsilah Raja Jembal dikatakan bermula dengan seorang kerabat diraja Kedah yang bernama Raja Bersiong yang singgah di Kelantan lalu menetap di Kedai Lalat (kira-kira 10 kilometer dari Kota Bharu). Raja Bersiong dikatakan telah membawa dua orang anak angkatnya yang bernama Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian. Menurut dongeng yang ditulis oleh penulis sejarah, Raja Sakti dikatakan berasal daripada buluh betong. Manakala, Puteri Mani Kemian pula berasal daripada buih. Lantaran itu, keturunan Raja Jembal dikatakan tidak memakan sayur buluh betung. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, cerita asal usul Raja Jembal yang dianggap dongeng ini telah mengaburi dan mengelirukan keturunan mereka yang mana ianya sudah tidak dipercayai dan dianggap dongeng semata-mata.

kota raja bersiong

Namun begitu, seperti yang dikatakan, terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang mengatakan bahawa anak cucunya tidak dibenarkan memakan sayur buluh betung, tidak dibenarkan membuat alat-alat rumah dan lain-lainnya daripada buluh betong serta anak cucu Raja Jembal juga dilarang memakan sejenis ikan iaitu ikan sekacang. Di zaman sekarang ini, ramai yang menganggap asal usul keturunan Raja Jembal adalah satu dongengan, malah turut tidak dipercayai oleh keturunan Raja Jembal itu sendiri. Sejauh mana kebenaran tentang perkara ini, masih lagi belum tersingkap sepenuhnya hingga sekarang.

buluh bentong

ikan sekacang

Pada asalnya, kerajaan Jembal merupakan kerajaan yang memerintah di Hilir Kelantan dan diasaskan oleh keturunan Champa. Pada kurun ke-14 hingga 19, negeri Champa telah berperang menentang penjajahan Vietnam dari utara. kerajaan Champa ini juga dikenali sebagai Melayu Champa kerana budaya, bahasa dan agamanya yang begitu dekat dengan Melayu. Semasa peperangan ini, satu persatu kota meraka telah jatuh ke tangan Vietnam dan menyebabkan ramai antara penduduk Champa telah berpindah ke Kelantan. Kota negeri Champa yang telah jatuh ke tangan Vietnam ialah Kota Vijaya, Inderapura dan terakhirnya Kota Panduranga atau sekarang lebih dikenali sebagai Ho Chin Minh. Dikatakan, hasil penghijrahan orang-orang Champa inilah terbinanya Pengkalan Champa atau disebut Pengkalan Chepa oleh masyarakat Kelantan sekarang.

kota_vijaya

pengkalan chepa

Dipercayai, orang Champa inilah yang menjadi pengasas utama Kerajaan Jembal di Kelantan. Keturunan Raja Jembal ini, ramai yang mendiami Kota Jemba (Kedai Lalat), Kota Melaka, Binjai, dan beberapa kampung lain yang terdapat di jajahan Kota Bharu. Antara kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Sa’adong, iaitu anak angkat kepada Cik Siti wan Kembang. Sejarah keturunan Raja Jembal ini telah dimuatkan dalam buku sejarah di sekolah-sekolah Melayu di kelantan sebelum terjadinya Perang Dunia Kedua. Selepas kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah mengahwini Puteri Mani Kemian. Hasil perkahwinan mereka, maka lahirlah Raja Loyor, Raja Omar dan Raja Bahar serta beberapa putera puteri yang lain. Raja Sakti juga telah diisytiharkan sebagai raja yang berdaulat di beberapa daerah di Kelantan misalnya kawasan sekitar Kedai Lalat.

Pemerintahan Raja Jembal di Kelantan telah berakhir lantaran kemangkatan Raja Kecil Sulung iaitu puteri Raja Omar pada 1725. Satu perebutan kuasa telah berlaku antara anakandanya, iaitu Raja Abdul Rahman dengan adindanya Raja Pah. Raja Abdul Rahman telah disingkirkan daripada takhta pemerintahan meskipun, Raja Abdul Rahman yang sepatutnya menjadi pemerintah yang seterusnya. Setelah Raja Abdul Rahman disingkirkan, pemrintahan Raja jembal telah diambil alih oleh Long Bahar iaitu suami kepada Raja Pah yang berasal dari Pattani. Dikatakan, perpecahan antara keturunan Raja Jembal telah terjadi disebabkan pemerintahannya yang diambil alih daripada keturunan Raja Jembal. Pemerintahan Raja jembal di Kelantan berakhir, namun sejarahnya masih kekal hingga ke hari ini. Sejarah keturunan ini dibuktikan lagi dengan adanya makam Raja Loyor, Raja Omar dan raja Bahar yang terdapat di sekitar Kedai Lalat dan telah dipelihara oleh pihak Muzium Negara.

makam_raja_loyor

Keturunan raja Jembal yang masih kekal hingga sekarang dikatakan masih menggunakan bahasa istana dalam pertuturan mereka seperti perkataan ‘ku’, ‘bonda’, ‘ayahanda’, ‘mangkat’, dan sebagainya. Ramai antara mereka yang tinggal di kawasan Kedai Lalat, Pulau Melaka, Binjai dan lain-lain daerah di sekitar Kota Bharu. Walaupun, mereka kini sudah bergelar rakyat biasa, pengaruh darah diraja masih lagi kuat dalam diri mereka dan kini, keturunan Raja Jembal telahpun merantau ke serata dunia.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.