Sarang Tebuan Di Tanah Perkuburan Rantau Panjang Dibimbangi Serang Penduduk

Penduduk meminta pihak berkenaan untuk memusnahkan sarang tebuan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang sebelum ianya menyerang penduduk.

Salah seorang penduduk, Wan Balya Wan Jaafar, 34, berkata, dia hanya menyedari sarang tebuan berkenaan dua minggu lalu ketika menziarahi pusara di Tanah Perkuburan tersebut.

image

Menurutnya, saiz sarang tebuan itu agak besar dan dibimbangi akan membahayakan penduduk memandangkan lokasinya terlalu dekat dengan sekolah, masjid, kedai zon bebas cukai dan klinik kesihatan yang sememangnya menjadi lokasi tumpuan ramai penduduk.

“Mujurlah tak berlaku sebarang insiden ketika penduduk dan anak perantau ketika ke kubur, Aidiladha lalu.

“Bulan lepas saja, dua kes maut dilaporkan akibat disengat tebuan di Jerteh dan Besut, Terengganu. Saya harap ianya tak berlaku di sini,” katanya.

tebuan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkenaan dan akan menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan tersebut secepat mungkin.

Menurutnya, operasi itu akan dilakukan pada waktu malam kerana tebuan kurang agresif dan ianya juga dapat mengurangkan risiko kemalangan lain yang berkemungkinan menimpa penduduk tempatan.

Katanya, selepas memastikan tiada orang awam di kawasan operasi, setiap anggota akan mengenakan seragam khas bagi mengelak serangan tebuan.

image_1

“Ini kerana tebuan adalah serangga yang sangat berbahaya, dua sengatan sahaja boleh membawa maut.

“Seramai lima anggota ditugaskan untuk memusnahkan sarang itu menggunakan racun serangga dan peralatan khas,” katanya.

Mohd Adni berkata, Jika ada penduduk mengalami masalah sama, mereka diminta agar menghubungi pihaknya secepat mungkin sebelum serangga berkenaan menyerang orang kampung terutama kanak-kanak.

Katanya, penduduk diminta tidak mengambil tindakan sendiri dengan mengalih, membunuh mahupun memusnahkan sarang tebuan di rumah tanpa kelolaan anggota keselamatan.

bee

“Ini adalah laporan pertama yang diterima kami bagi tahun ini.

“Tahun lalu, kami juga menerima laporan membabitkan sarang tebuan di bumbung Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau Masjid Beijing pada 25 September,” katanya.

Sumber Sinar Harian.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.