Sejarah Kampung Bunut Payong Di Kota Bharu

Bunut Payong merupakan sebuah Mukim yang terletak di Daerah Kubang Kerian, Kota Bharu yang tidak jauh dari pekan Wakaf Che Yeh. Mengikut Sejarah, Kampung ini telah dibuka pada pertengahan abad ke-19 dan terletak dibawah Penguasaan Tuk Raja Lundang. Pada umumnya, asal Kampung ini adalah sebuah perkampungan kecil yang terletak di tebing muara Sungai Lundang atau sekarang dirasmikan sebagai Sungai Lubok Mulong.

peta2

Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Sungai Lubok Mulong merupakan jalan perhubungan utama masyarakat dahulu kala yang menghubungkan Kuala Kemenyan disebelah timur dengan Sungai Kelantan disebelah barat. Batas sempadan asal Kampung Bunut Payong ini bermula dari Cabang Sungai Lubuk Mulong di belakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payong di timur dan menganjur sepanjang kawasan tebing Sungai hingga ke sempadan Kampung Paloh disebelah barat.

Asal usul nama Bunut Payong ini dikatakan mempunyai pelbagai versi yang diperkatakan dari generasi ke generasi. Salah satu versi yang paling tua ialah nama kampung ini dikatakan diambil sempena Pokok Bunut yang banyak tumbuh di kampung tersebut sehinggakan keseluruhan kampung tersebut dikatakan kelihatan teduh kerana dipayungi oleh pokok berkenaan.

peta

Daripada itulah, timbulnya ilham untuk menamakan kampung tersebut sebagai Kampung Bunut Payong. Pokok ini dikatakan masih lagi ada di sekitar kampung Bunut Payong khususnya dibahagian asalnya di sekitar kawasan Jambatan Bunut Payong di Jalan Kuala Krai. Kampung ini kemudiannya bertambah masyhur apabila wujud sistem penyebaran agama yang dipelopori oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Tahir pada tahun 1931.

tok guru

Dari segi pentadbirannya pada masa lampau pula, Kampung ini ditadbir oleh seorang Penghulu dibawah perintah Tuk Raja Lundang. Pada 1880, Kelantan pernah dilanda peristiwa angin besar. Manakala, pada tahun 1884 pula berlaku bencana kelaparan dan wabak penyakit dan Penghulu Kampung Bunut Payong pada masa ini ialah Tok Selamah yang dilantik oleh Tuk Raja Lundang.

Tok Selamah ini dilantik untuk mentadbir sebahagian kawasan Lundang barat yang bermula dari batas sempadan asalnya di Cabang Sungai yang terletak dibelakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payong di sebelah barat sehingga ke Lubok Kucing di sebelah timur.

sk_bunut

Kawasan itu kini berada di sekitar Jambatan Jalan Tengku Muhammad Maasum, ke utara sehingga ke Belukar Lundang yang kini dikenali sebagai Kampung Belukar yang terletak di sebelah timur Paya Senang. Sejak dari itu, Kampung Bunut Payong telah mengalami banyak tranfomasi dan menjadi status kepada sebuah perkampungan besar dan kekal sehingga sekarang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.