Sejarah Kampung Lundang Kota Bharu

Kampung Lundang adalah salah satu dari perkampungan Melayu tua yang terdapat dalam bandar Kota Bharu sekarang. Menurut catatan sejarah, faktor bentuk muka bumi yang mempunyai kawasan tanah leku’ serta lembah yang luas berhampiran tebing sungai telah menjadi asbab kawasan itu dinamakan sebagai Kampung Lundang atau dalam dialek Kelantan disebut sebagai ‘lundai’ atau ‘lunde’. Pada awalnya, penempatan Kampung Lundang ini terletak dibawah lembah kampung Lundang sekarang dan ianya mengadap ke arah Sungai Lundang. Kawasan ini dahulunya juga merupakan jalan perhubungan utama yang menghubungkan Sungai Kelantan melalui Pengkalan Galuh, Kampung Sireh disebelah Barat dengan Laut melalui kuala Pantai Senok disebelah Timur.

Kampung

Kawasan asal Kampung Lundang ini dahulunya meliputi Kampung Bawah Lembah, Bunut Payong, Kampung Belukar dan Taman Restu yang mana pada waktu itu ketiga-tiga nama tempat ini belum lagi wujud. Penempatan masyarakat terdahulu di Kampung Lundang dapat dibuktikan dengan adanya beberapa kubur lama di empat kawasan iaitu dua tempat dibawah lembah Kampung Lundang, satu di atas tebing berhampiran tebing bawah lembah yang di bahagian tiurnya dipercayai terletak makam Raja-Raja Lundang. Manakala, satu lagi terdapat di Taman Restu.

makam

Kampung Lundang ini dinyatakan telah dibuka pada tahun 1762 oleh seorang yang masyhur dan ternama dalam sejarah Kelantan iaitu Mandor Mis atau nama sebenarnya Tuan Khomis, abang kepada Che’ Tuan Mah (Isteri Penghulu Adas), Tuan Wan Mamat dan Tuan Membunga iaitu putera-puteri kepada Tuan Kundur Kelantan. Mandor Mis yang bergelar Dato’ Maharaja Wangsa merupakan Penghulu Menteri yang dipercayai menjadi Timbalan kepada Long Gafar serta menjadi Raja di Kampung Lundang yang dilantik oleh DYMM Sultan Long Yunus.

Semasa Mandor Mis menjadi Raja Kampung Lundang, baginda telah melantik Awang Besar untuk menjadi Penghulu yang pertama di Kampung Lundang pada tahun 1790. Selepas Mandor Mis mangkat, Kampung Lundang dikatakan tidak lagi mempunyai raja sehinggalah pada tahun 1800 yang mana putera kepada Al-Marhum Mandor Mis iaitu Wan Mahmud telah dilantik menjadi Pembesar yang bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang merangkap Raja Daerah Lundang yang digelarkan juga sebagai Dato’ Panglima Perang. Baginda Wan Mahmud ini telah dilantik oleh DYMM Sultan MUhammad I.

Baginda Wan Mahmud telah mangkat pada tahun 1830 dan tempat baginda digantikan dengan anakandanya iaitu Wan Muhammad dengan memakai gelaran Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-II dan dikenali juga sebagai masyhur Dato’ Mekong sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1846. Selepas itu, DYMM Sultan Muhammad-II telah melantik puteranya iaitu Wan Nik untuk memerintah Daerah Lundang dan diberi gelaran Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-III merangkap Ahli Jemaah Menteri Peperangan iaitu suatu jawatan baru yang diperkenalkan oleh DYMM Al-Sultan dan kemudiannya baginda digelarkan sebagai Dato’ Besar sehingga mangkat pada tahun 1867.

P1000397

Setelah baginda Wan Nik mangkat, tempat baginda digantikan pula dengan sepupunya yang juga menantunya sendiri iaitu Nik Wan Musa Bin Wan Sulaiman yang memakai gelaran Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke-IV atau lebih dikenali sebagai Dato’ Lundang. Dibawah pemerintahan Dato’ Lundang, daerah Lundang khususnya Kampung Lundang telah banyak mengalami kemajuan dan penempatan mereka juga turut berubah dengan adanya pembukaan kawasan baru untuk penanaman padi yang sekarang ini telah pun dibina Maybank Lundang hinggalah ke Kampung bayam. Pembukaan kawasan baru ini adalah untuk menggantikan tempat lama di kawasan tebing sungai Lundang yang telah tercemar dan tidak selamat untuk dihuni akibat daripada Peristiwa Angin Besar yang melanda Kelantan pada tahun 1880

Akibat daripada peristiwa yang berlaku ini, kebanyakan penduduk Kampung Lundang khususnya penduduk di kawasan bawah lembah Lundang telah membuka kawasan baru yang ada sehingga sekarang. Tidak lama selepas itu, penduduk yang masih lagi menetap dibawah lembah khususnya di bahagian barat kampung Lundang asal (bawah Lembah) telah mewujudkan satu pentadbiran (Penghulu) baru serta nama-nama kampung yang baharu seperti Kampung Belukar dan juga Kampung Bawah Lembah yang telah menjadi sebahagian pentadbiran Penghulu Kampung Bunut Payong yang kemudiannya terkenal dengan nama Kampung Bawah Lembah Bunut Payong. Walaubagaimanapun, kedua-dua Kampung ini masih lagi terletak di dalam daerah Lundang dan berada dibawah pemerintahan Dato’ Lundang.

Pada tahun 1915, yakni semasa kebangkitan rakyat yang diketuai oleh Tok Janggut dalam menentang penjajahan Inggeris, Dato’ Lundang bersama-sama Engku Besar Muda Tuan Jaafar, Dato’ Bentara Setia Nik Mahmud, Dato’ Kaya Hulubalang Kadik daan Dato’ Menteri Kelantan Che’ Hasan telah menjalankan kegiatan diplomasi antara pihak Tok Janggut dan Engku Nesar Tuan Ahmad iaitu bekas pemerintah tradisional daerah Jeram, Pasir Putih dengan pihak kerajaan Kelantan di Kota Bharu dan juga pihak Inggeris.

Tok_Janggut

Pada tahun 1909, dikatakan akibat daripada Perjanjian British-Siam peranan corak pemerintahan tradisional daerah Lundang telah ditukar dan berubah kepada corak pentadbiran moden yang dibawa oleh Penasihat British di Kelantan. Akibat daripada peristiwa tersebut, Dato’ Lundang telah diberi pencen seumur hidup dan kemudian mangkat pada tahun 1926. Baginda telah dimakamkan di tanah perkuburan besar kampung Lundang yang bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Lundang. Selepas dari tahun 1909 atau sejak tahun 1904, daerah Lundang telah ditadbir secara moden yang diketuai oleh seorang Ketua Daerah yang bergelar Penggawa sehinggalah pada tahun 1970 apabila daerah Lundang telah dipecah dan digantikan menjadi daerah Kubang Kerian.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.