Sejarah Mukim Pauh Lima Kelantan

Nama asal Mukim Pauh Lima dikatakan diambil sempena satu simpang tiga dari Bukit Tok Sheikh ke Kampung Panggong yang mana terdapat lima batang pokok pauh yang telah tumbang. Di kawasan itu juga telah didirikan sebuah Masjid yang dikenali sebagai Masjid Pauh Lima.

masjidpauh

Sejarah mengenai perkembangan awal penduduk di mukim ini tidak dapat diketahui dengan teliti lantaran catatan mengenainya tidak berjaya ditemui. Walaubagaimanapun, petempatan di Mukim Pauh ini dikatakan bermula apabila seorang tokoh ulamak dari Pondok Kampung Lubuk Daerah Pattani di Selatan Thailand telah berhijrah ke sini pada tahun 1711. Tokoh tersebut dikenali sebagai Tuan Haji Hassim yang telah berhijrah ke Mukim Pauh ini bersama sepupunya yang dikenali sebagai Awang Kecik.

Mereka berdua telah membuka sebuah petempatan yang terletak di Ulu Sungai Pulai Chondong yang dikenali sebagai Kampung Bukit. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Tuan Haji Hassim merupakan bapa kepada Haji Abdul Samad atau dikenali juga sebagai Tok Pulai Chondong. Disamping pembukaan kampung Bukit oleh Tuan Haji Hassim ini, beliau turut membina sebuah masjid yang dijadikan sebagai pusat pembelajaran dan penyebaran agama Islam dan masjid tersebut merupakan masjid pertama di daerah itu.

8dd4

Tuan Haji Hassim merupakan seorang yang mahir dalam ilmu fiqah. Beliau juga turut dikenali sebagi Imam Bukit oleh penduduk kampung. Manakala, sepupunya pula mahir dan handal dalam ilmu mempertahankan diri. Gabungan kedua-dua mereka telah berjaya menaikkan nama mukim Pauh sehingga dikenali ramai.

Setelah Tuan Haji Hassim meninggal dunia, Haji Abdul Samad yang merupakan anak beliau telah membuka pondok baru di Kampung Surau dan masjid yang dibina bapanya telah dipindahkan ke Surau Tok Pulai Chondong dan telah membuka sistem pengajian pondok yang pertama di Kelantan. Tok Awang Senik iaitu anak kepada Awang Kecik pula telah berpindah ke Kampung Tok Kaya.

Dikatakan, Pauh Lima ini juga pernah menjadi tempat pejuang-pejuang Tok Janggut berlindung daripada tentera Inggeris ada tahun 1941 di kawasan Bukit Sabut dan Bukit Batu Meninjau. Pejuang-pejuang Tok Janggut ini mendapat bantuan daripada penduduk kampung dengan memberikan bekaan makanan dan ubat-ubatan kepada mereka. Mukim Pauh Lima ini juga merupakan kawasan tanah tinggi kerana ianya terselamat daripada badai Bah Merah pada tahun 1926.

sk pulai

Mukim Pauh Lima ini dikatakan bertambah maju menjelang awal tahun 60-an yang mana mukim ini telah menjadi tumpuan penduduk Kelantan lantaran adanya pembukaan kilang mengawet tembakau terbesar di Kelantan yang diusahakan oleh syarikat Inggeris. Syarikat tersebut dikenali sebagi ‘Malaya Tembakau Company’. Manakala, pada tahun 1966 pula, sebuah sekolah menengah telah dibuka dan ianya telah menjadikan Mukim Pauh Lima bertambah maju.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.