Sejarah Pekan Selising Di Pasir Puteh, Kelantan

Selising merupakan sebuah kampung tradisional yang terletak tidak jauh dari bandar Machang. Nama kampung ini diambil sempena nama sebuah pokok yang dikenali sebagai pokok Selising. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, dahulunya, daun selising ini amat terkenal sebagai bahan pembuatan tikar oleh penduduk tempatan, Tetapi, pokok selising ini sudah tidak lagi kelihatan di sini.

Sekitar tahun 1960-an, Selising merupakan sebuah perkampungan yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air paip yang bersih. Penduduknya menggunakan pelita minyak tanah yang juga dipanggil pelita ayam. Manakala, untuk mendapatkan air pula, mereka mengambil air perigi yang digali sendiri hampir setiap keluarga di kampung berkenaan.

perigi2

Dalam sejarah, Selising telah menjadi tumpuan kaum Cina sejak sebelum Parang Dunia Kedua lagi. Walaupun, Selising merupakan antara kampung yang agak kecil, ianya tetap mampu menyediakan keperluan asas yang mencukupi buat penduduknya. Selising ini juga terletak antara bandar Kota Bharu dan Pasir Puteh.

pekan

Selising juga pernah menjadi tempat tumpuan penduduk kampung sekitar seperti penduduk kampung dari Kedai Menanti, Bukit Jawa, Banir Belikong, Alor Hijau, Lepah dan lain-lain. Padang bola luas yang terletak ditengah-tengah pekan ini banyak menyumbang kepada perkembangan tradisi serta merupakan pusat utama kerajaan menyampaikan berita dan laporan semasa berkenaan negeri. Selising pada suatu masa dahulu, merupakan antara tempat yang terkenal dengan persembahan dikir barat, wayang kulit dan juga perlawanan bola sepak.

padang

Pada zaman 1960-an, dikir barat dan wayang kulit sering diadakan di kampung Selising dan orang-orang kampung dari beberapa kampung berdekatan akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan acara tersebut. Padang bola ini biasanya akan dipagarkan dengan plastik putih dan penduduk kampung perlu membayar tiket untuk melihat persembahan dikir barat dan wayang kulit.

dikir

wayang

Walaupun Selising tidak mempunyai bekalan elektrik sekitar tahun 1960-an, orang ramai tetap datang setiap kali persembahan diadakan. Mereka akan menyalakan pelita ayam, lilin dan juga lampu-lampu pam minyak tanah untuk mencerahkan suasana padang tersebut. Lama-kelamaan, setelah adanya bulb lampu, penjana elektrik petrol, suasana di padang ini bertambah meriah seperti berpesta.

image

Disamping itu, Selising sebagai tempat yang menyediakan hiburan yang sihat dianggap lebih maju dari kebanyakan kampung lain di Kelantan pada zaman 1960-an. Pada masa itu juga, Selising mempunyai satu panggung wayang yang dikenali sebagai Panggong Kiew yang dinamakan sempena nama tuan panggong tersebut yang bernama Kiew atau nama sebenarnya Koh Boon Chiew.

Namun begitu, menjelang akhir tahun 1970-an, dikir barat dan wayang kulit dikatakan hampir pupus apabila kebanyakan penduduk kampung sudahpun mempunyai televisyen berwarna. Mereka tidak lagi berminat dengan hiburan sebegini termasuklah wayang gambar percuma yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan. Hal ini kerana, rancangan Boria yang disiarkan dalam televisyen lebih menarik minat mereka berbanding dikir barat.

boria

Masyarakat Selising ini juga terkenal dengan sikap mesra dan budaya saling menghormati antara mereka. Mereka juga senang untuk tolong menolong antara satu sama lain. Buktinya, peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969, langsung tidak menjejaskan perhubungan antara kaum di Selising. Hal ini kerana, masyarakat Selising dianggap matang dari segi perhubungan ras dan sangat menjaga keeratan hubungan antara kaum di kampung tersebut. Selain itu, kebanyakan masyarakat Melayu, lebih suka tinggal di rumah-rumah kampung mereka sebelum terjadinya kebakaran besar pada tahun 1950-an. Kebakaran yang berlaku telah membentuk pekan yang lebih teratur dengan terbinanya rumah kedai yang menjadi tapak asas Selising pada hari ini.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.