Sejarah Ringkas Syed Hussein Jamadil Kubra Belayar Ke Kelantan

Syed Hussein Jamadil Kubra atau dikenali juga sebagai ‘Wali Tujuh’ telah belayar ke Tanah Melayu bersama enam lagi saudaranya untuk menyebarkan ajaran Islam sekitar 1300 Masihi. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Syed Hussein Jamadil Kubra merupakan keturunan Ahlul Bait memulakan dakwahnya di Kelantan dan telah berkahwin dengan seorang puteri Kelantan pada masa itu bahkan turut dikatakan bagindalah yang menjadi pengasas kepada Kesultanan Melayu di Nusantara termasuklah Brunei dan Selatan Filipina.

Sebelum sampai ke Tanah Melayu, kapal yang dinaiki Syed Hussein bersama saudaranya yang lain hampir karam di laut. Dalam keadaan terdesak, mereka bersungguh-sungguh berdoa meminta pertolongan daripada Allah S.W.T. Ditakdirkan, sekumpulan ikan kekacang telah datang menyumbatkan diri mereka ke celah-celah lubang kapal yang bocor dan menolak kapal tersebut sehingga ke daratan Kampung Laut, Tumpat dengan selamat.

ikan

Setelah selamat sampai ke daratan, kesemua mereka terus menunaikan solat sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T kerana telah menyelamatkan nyawa mereka. Peristiwa yang berlaku telah menimbulkan rasa aneh dalam diri masyarakat yang pada masa itu masih lagi beragama Hindu dan Buddha. Dalam keadaan lapar dan dahaga, ditakdirkan Allah S.W.T, sekali memberikan petunjuk kepada mereka melalui seekor tupai putih. Syed Hussein Jamadil Kubra telah diperlihatkan seekor tupai putih yang sedang memakan umbut buluh betung dan berlalu pergi setelah kekenyangan.

buluh

Seketika itu juga, Syed Hussein yang dalam kelaparan turut memakan umbut buluh betung yang ada di situ. Lantaran, baginda merasa dirinya diberi petunjuk melalui ikan kekacang dan buluh betung, maka baginda Syed Hussein telah mewasiatkan keturunannya supaya tidak memakan ikan kekacang dan buluh betung. Sesiapa yang melanggar wasiatnya akan dijangkiti penyakit kulit. Hal ini kerana, baginda merasa bahawa ikan kekacang dan buluh betung telah menyelamatkan nyawanya.

Sebagai tanda bersyukur di atas pertolongan Allah S.W.T ini juga, baginda telah membina sebuah masjid di kampung Laut dan diberi nama Masjid Kampung Laut yang turut menjadi salah satu lagenda masyarakat Kelantan kerana masjid tersebut merupakan masjid pertama yang dibina. Masjid itu kini, telah dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu selepas beberapa kali mengalami kerosakkan akibat banjir.

masjid

Dikatakan daripada Syed Hussein Jamadil Kubralah, lahirnya titihan keturunan Raja-raja Melayu di Nusantara termasuklah keturunan Raja Jembal yang begitu terkenal di Kelantan. Lantaran itu, dikatakan sehingga kini, keturunan Syed Hussein tidak boleh memakan buluh betung dan juga ikan kekacang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.