Seni Bina Masjid Mulong, Kota Bharu Kelantan

Masjid Mulong atau dikenali juga sebagai Masjid Ar-Rahman oleh penduduk setempat merupakan salah satu bangunan sejarah. Pada asalnya bangunan ini didirikan bukanlah sebagai sebuah masjid tetapi merupakan binaan sebuah Balairong Seri yang digunakan untuk aktiviti penghadapan raja yang dimiliki oleh Raja Dewa.

Bangunan

Raja Dewa merupakan gelaran kepada Tuan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang putera kepada Sultan Muhammad III dan saudara kandung Sultan Muhammmad IV. Kedudukan asal bangunan ini adalah di kawasan perkampungan raja di Kota Bharu yang terletak berhampiran dengan Istana Jahar dan Istana Balai Besar.

Namun pada tahun 1958, ianya telah dibeli oleh penduduk Kampung Kedai Mulong dengan harga RM 1000 dan dipindahkan ke Kampung Kedai Mulong untuk digunakan sebagai surau hingga ke hari ini. Struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke Kampung Kedai Mulong. Balairong Seri itu kemudiannya dipasang semula secara gotong-royong dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk.

Masjid_Lama

Kerja-kerja mendirikan masjid ini siap pada akhir Disember 1958. Keluasan masjid lama ini adalah 1200 kaki persegi, dikekalkan sebagaimana asalnya namun ia tidak dapat menampung keperluan jemaah masjid yang kian meningkat lebih-lebih lagi dengan adanya pelajar dari Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri sekitar tahun 1958. Berdasarkan keperluan itu, satu masjid baru dibina 500 meter dari masjid lama ini dengan keluasan yang lebih besar dan menampilkan senibina yang lebih moden.

Beberapa penambahan baru dilaksanakan dari semasa ke semasa sehinggalah mengubah rupa bentuknya yang sebenar. Namun hasil daripada lawatan yang dilakukan oleh Dato’ Pesuruhjaya Warisan pada tahun 2007 dan setelah melihat betapa indahnya seni pertukangan Melayu yang boleh dipaparkan kepada masyarakat hari ini, dan juga dari segi sejarahnya yang merupakan sebahagian istana DiRaja Kelantan, Jabatan Warisan Negara, telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja pemulihan terhadap bangunan ini.

mulong

Kerja-kerja pemulihan telah dimulakan pada penghujung tahun 2008 dan telah siap pada awal tahun 2009. Memandangkan banyak perubahan dan binaan baru yang kurang sesuai dilakukan secara berperingkat ke atas bangunan ini, pemuliharaan secara keseluruhan dilaksanakan bagi mengembalikan rupa bentuk asalnya. Proses awal adalah mengikis dan mengecat semula pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada genting jenis singgora Thailand.

Beberapa kerja baru juga dilaksanakan iaitu anjung hadapan, papan pemeleh bumbung serta perabung konkrit berbentuk ‘ekor itik’ diperincikan lagi dengan reka bentuk baru berdasarkan ciri seni bina DiRaja Kelantan. Semasa kerja-kerja mengikis cat lama di bahagian atas panel janda berhias atau dinding asal balairong seri, pekerja-pekerja terjumpa lukisan mural berkerawang emas berbentuk bunga.

msjd

Ukiran bunga ini dikekalkan agar sejarah balairong seri tidak hilang. Sebanyak tiga batang tiang penyokong yang using ditukar baru dan enam lagi tiang penyokong ditambah bagi mengukuhkan struktur bangunan. Bangunan ini juga dianjakkan ke hadapan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah chain-lock berikutan tapaknya terkeluar daripada lot tanah wakaf. Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan penuh berhati-hati.

Bangunan ini juga diangkat dan diletakkan di atas pelapik tiang konkrit untuk menjaga keutuhan tiang-tiang kayu penyokong bangunan ini daripada rosak. Antara kerja-kerja lain bagi bangunan ini adalah membina tempat wuduk di bahagian sisi kanan dan tandas di bahagian sisi kiri masjid, kerja-kerja memagar kawasan dan mengindah lanskap sehaingga tampak berbeza daripada keadaan sebelumnya. Kini selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih Masjid Lama Kedai Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya. Kemuncak legasi masjid ini ianya telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 5 Julai 2009.



PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.