Serba Sedikit Kisah Di Pasir Puteh, Kelantan

Pasir Puteh merupakan salah satu jajahan Kelantan yang terletak di tebing Sungai Semerak, kira-kira 30 kilometer ke Selatan Kota Bharu. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, jajahan Pasir Puteh ini mendapat nama setelah Sultan Muhammad IV merasa kagum ketika melihat pasir yang begitu putih dan berkilau di sepanjang pantainya. Dahulunya, tempat ini dikenali sebagai Pangkalan Limbungan dan telah wujud sejak tahun 1905 lagi.

1

Namun, Sultan Muhammad IV telah berkenan untuk menamakan tempat ini sebagai Pasir Puteh yang bermaksud pasir pantai yang putih. Nama tempat ini ditukar pada tahun 1911. Jajahan Pasir Puteh ini mempunyai keluasan 233.8 kilometer persegi serta merupakan jajahan kelima terluas di Kelantan berbanding dengan jajahan-jajahan lain. Pasir Puteh juga bersempadan dengan Kota Bharu di sebelah Utara dan di selatannya bersempadan pula dengan Daerah Besut, Terengganu.

bisikan

Dalam Jajahan Pasir Puteh juga, terdapat beberapa buah bukit lantaran Pasir Puteh ini sememangnya terkenal dengan bentuk muka buminya yang berbukit. Antara bukit-bukit yang terdapat di sini ialah Bukit Jerus, Bukit Bayoh, Bukit Mak Lipah, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi dan Bukit Peraksi. Bukit yang tertinggi di Pasir Puteh ialah Bukit Mak Lipah dengan ketinggian 868 kaki, terletak berhampiran dengan sempadan Bachok di sebelah utara.

bukit

Ramai antara kita yang sedia tahu bahawa Pasir Puteh juga amat terkenal dengan sejarah perjuangan Tok Janggut yang menentang pihak Inggeris yang cuba mengembangkan pengaruh mereka di daerah Jeram. Sebelum 1911, daerah Jeram telah diperintah oleh seorang pembesar yang bergelar Seri Maharaja Tua. Sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan perjuangan Tok Janggut di Pasir Puteh ini, satu tugu peringatan yang dinamakan ‘Tugu Tok Janggut’ telah dibina oleh pihak MDPP yang terletak di tepi Sungai Semarak.

tugu

Pasir Puteh juga turut terkenal dengan pantai-pantainya yang bersih dan terletak bertentangan dengan Laut China Selatan. Antara pantai-pantai yang terletak dalam jajahan Pasir Puteh ialah Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Tok Bali. Pantai Tok Bali pula bakal dimajukan sebagai sebuah bandar baru yang berteraskan ekonomi perikanan, tempat pelancongan serta penempatan pusat pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan.

bayu

tok

jeram

Berdekatan Pasir Puteh ini juga terdapat sebuah jeram yang dikenali sebagai Jeram Linang iaitu terletak di Kampung Lepan Rambai kira-kira 15 kilometer dari bandar Pasir Puteh. Jeram Linang ini amat sesuai untuk dijadikan tempat riadah bersama keluarga. Begitulah serba sedikit kisah mengenai jajahan Pasir Puteh, Kelantan.

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.