Stesen Kereta Api Wakaf Bharu Lambang Sejarah Kelantan

Bagi sesetengah masyarakat di Malaysia pengangkutan kereta api agak mundur berbanding pengangkutan lain seperti bas, teksi dan kapal terbang. Namun di pantai barat Semenanjung pengangkutan berbentuk kereta api seperti perkhidmatan komuter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel adalah alternatif yang popular bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya untuk ke tempat kerja.

re_06.1

Bagi penduduk di pantai timur terutama di Kelantan pula, perkhidmatan kereta api antara bandar yang diuruskan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merupakan perkhidmatan yang terpenting bagi menghubungkan penduduk di sini. Perkhidmatan itu juga penting bagi menghubungkan penduduk pantai timur dengan pantai barat terutamanya bagi perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, Johor Baharu, dan bahagian utara Semenanjung.

Stesen KTMB Wakaf Bharu, yang terletak di jajahan Tumpat, Kelantan adalah satu daripada stesen yang amat popular bagi penduduk di negeri Kelantan. Selain menjadi pusat persinggahan para pelancong untuk ke destinasi seperti Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang, stesen KTMB ini juga turut menghubungkan penumpang dengan bandar Kota Bharu yang hanya mengambil masa 20 minit dari stesen itu.

Stesen

Stesen yang mula beroperasi sejak 1965 ini menjadi nadi pengangkutan kepada masyarakat di pantai timur terutama di Kelantan sebelum stesen baru dibina untuk menggantikan stesen lama pada Februari 2009. Stesen ini juga tidak terlepas daripada menjadi tarikan yang unik kerana ianya merupakan stesen yang digunakan oleh Sultan Kelantan untuk ke Kuala Lumpur sejak pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong keenam untuk menghadiri mesyuarat khas.

Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi yang membawa penulis meninjau keadaan sekeliling stesen berkata segala keperluan baginda Sultan ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong dibawa dari Istana Kelantan melalui stesen Wakaf Bharu hingga ke Kuala Lumpur.

“Antara keperluan yang kita (KTMB) bawa melalui stesen ini (Wakaf Bharu) ialah makanan dan keperluan baginda di Istana Negara.

“Apa yang paling unik ialah kita membawa air keperluan baginda dari perigi di Istana Kelantan untuk baginda mandi dan sebagainya melalui stesen Wakaf Bharu ini, dan KTMB akan menghantar keperluan tersebut sekurang-kurangnya dua minggu sekali,” katanya ketika ditemubual sempena majlis pelancaran Malayan Tiger Train (MTT) di Johor Bahru Sentral.

Stesen1

Patah tumbuh hilang berganti adalah perumpamaan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan kesinambungan perkhidmatan kereta api yang terus digunakan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Ismail Petra ibni Almahrum Sultan Yahya Petra. Noordin berkata, perkhidmatan logistik yang digunakan kerabat diraja Kelantan ketika itu adalah satu penghormatan bagi KTMB dan walaupun selepas tamat menjadi Yang Di-Pertuan Agong, anakanda baginda tetap menggunakan perkhidmatan KTMB untuk urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Stesen yang penuh bersejarah itu juga diubahsuai bagi kegunaan Sultan Kelantan dan antara pengubahsuaian yang dilakukan ialah mengubah bilik VVIP seperti menjadi bilik diraja dengan menggunakan hiasan dalaman Istana Kelantan.

“Kalau baginda Sultan ingin berangkat ke Kuala Lumpur dan menggunakan stesen ini, maka pihak KTMB akan mengubah-suai bilik VVIP seperti meletakkan permaidani merah. Manakala segala hiasan bilik akan diuruskan oleh pihak Istana,” kata Noordin. Maka, tidak keterlaluan kalau Stesen Wakaf Bharu digelar sebagai stesen Diraja.

64012032

Oleh kerana kereta api merupakan pengangkutan utama yang digunakan dengan kerap oleh Sultan Kelantan, KTMB telah mengubahsuai sebuah gerabak khas yang digelar “SK 1” dengan mengambil kira sentuhan dan hiasan dalaman oleh Baginda Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada ketika itu.

Noordin berkata, segala urusan hiasan dalaman akan diserahkan kepada Sultan Kelantan untuk memberi sentuhan terhadap gerabak itu mengikut citarasa baginda sendiri. Manakala ruang santapan ala istana disediakan di atas gerabak bagi memastikan Baginda Sultan berada dalam keadaan yang selesa.

“Koc SK 1 ini adalah gerabak khas tetapi ianya tetap melalui perjalanan bersama-sama rakyat jelata yang lain cuma gerabak ini diubahsuai khas untuk baginda Sultan dan keluarga,” katanya.

24756394

Menurut Noordin, disebabkan keistimewaan koc SK 1 ini, maka KTMB sekali lagi telah membina koc SK 2 bagi memberi penghormatan kepada sultan-sultan yang ada di negara ini untuk menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai tujuan rasmi.

“Antara kelebihan koc ini ialah ruang makan ala santapan diraja seolah-olah berada di balairong seri walaupun berada di atas kereta api,” katanya.

Menurut Noordin, perkhidmatan kereta api ini mempunyai banyak sejarahnya yang tersendiri apabila ianya menjadi pengangkutan rasmi Yang Di-Pertuan Agong yang pertama Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad untuk ke Istana Negara dan kereta api juga adalah perkhidmatan yang membawa pulang baginda dari Istana negara.

Sekiranya diamati dengan teliti, stesen itu adalah stesen yang amat berbeza dari stesen kereta api yang lain seperti di Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah. Tarikan utama stesen tersebut yang tiada pada stesen lain ialah ia menjadi pusat persinggahan pelancong dari luar negara terutamanya dari Jepun, Thailand dan Singapura untuk ke destinasi lain di Kelantan.

jalan

Menurut Noordin, kebanyakan pelancong yang turun di stesen Wakaf Bharu rata-ratanya akan menuju ke Gunung Stong yang mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

“Kalau kita lihat stesen Wakaf Bharu ni memang strategik. Nak ke Kota Bharu dekat, ke Rantau Panjang, Pengkalan Kubor pun dekat dan nak ke Gunung Stong juga dekat,” katanya.

Bagi mereka yang pernah singgah di stesen kereta api Wakaf Bharu ini pastinya akan berpeluang untuk melihat keindahan alam semulajadi yang terpampang depan mata. Bak kata pepatah jauh perjalanan luas pemandangan. Bagi yang tinggal di bandar sudah lalai dengan suasana di kota yang sesak dengan pelbagai kenderaan maka mereka harus menggunakan waktu lapang untuk menikmati percutian alam semulajadi dengan menaiki kereta api kerana stesen Wakaf Bharu menjanjikan percutian semulajadi yang indah bagi penggemar flora dan fauna.

Sumber:Utusan Online

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.