Sukar Cam Cina Peranakan Kelantan

Cina Peranakan di Kelantan sangat unik dan lain daripada yang lain. Hal ini kerena, mereka turut mengamalkan kehidupan dan budaya Melayu sehingga ramai yang keliru sama ada mereka berbangsa Melayu atau Siam. Bukan setakat bahasa pertuturan sahaja, malah pakaian, makanan dan rupa paras mereka juga tidak ada bezanya dengan orang Melayu. Kulit Cina Peranakan kebanyakannya sawo matang. Mata tidak terlalu sepet seperti kebanyakan orang Cina lainnya.

cina

Selain itu, bahasa Melayu loghat Kelantan mereka juga sangat pekat dan lancar sepertimana orang Kelantan. Cina Peranakan ini juga sering mengenakan kain sarung menambahkan lagi kekeliruan untuk mengenali mereka.

Menurut seorang penduduk dari generasi kelima, Chu U Liak, 70, dari Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, berkata bukan semua masyarakat Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.

“Nenek moyang kami memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu dan ada yang pernah berkahwin dengan orang Siam dan tempatan, tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.

cina02

“Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun ianya telah mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal ini, sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan,” katanya.

U Liak yang mempunyai seorang anak dan isterinya baru saja meninggal dunia setahun lalu berkata, istilah Cina Peranakan baru saja diberikan oleh pengkaji, iaitu Prof Dr Tan Chee Bee.

Sebelum ini, mereka dikenali dengan pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam).

cina06

Katanya, orang Melayu pula mengenali mereka sebagai Cina Kampung atau Cina Kelantan walaupun masyarakat itu wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi dari tempat kelahiran nenek moyangnya di Kelantan dan mengamalkan cara hidup Melayu.

“Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain, sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.

“Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk kepada masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam.

cina07

“Sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan. Individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan,” katanya yang juga bekas penghulu Kampung Pasir Parit.

Disamping itu, Cina Peranakan turut mengamalkan pemakanan orang Melayu seperti nasi kerabu, budu, sambal belacan dan jering. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh iaitu antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam. Sementara itu, Koh Guat Sing, 47, berkata Kampung Pasir Parit adalah kawasan penempatan Cina Peranakan terbesar di Kelantan membabitkan keluasan dua kilometer persegi dengan jumlah penduduk lebih 1,000 orang.

Beliau yang juga Penghulu Kampung Pasir Parit berkata, setiap hujung minggu seperti hari Jumaat, penduduk bersama masyarakat Melayu akan berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti pertandingan burung candik, yang dianjurkan sendiri oleh masyarakat Cina Peranakan.

cina01

“Walaupun kami berlainan bangsa, hubungan erat antara masyarakat Melayu sangat rapat menerusi aktiviti yang dijalankan seperti pertandingan burung candik. Dalam program itu, agak sukar untuk mengenal pasti yang mana Cina Kampung dan yang mana Melayu kerana rupa hampir sama melainkan mereka sudah mengenali antara satu sama lain,” katanya yang juga generasi ketujuh Cina Peranakan di Kelantan.

Guat Sing berkata, kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak bermain di luar rumah pada waktu senja dengan mengadakan pelbagai mitos, antaranya hantu bagi menakutkan anak, turut menjadi amalan Cina Peranakan. Katanya, mereka yakin kepercayaan itu bertujuan memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu berkenaan supaya semua anggota keluarga dapat makan malam bersama.

“Selain itu, permainan wayang kulit turut menjadi kegemaran masyarakat Cina Peranakan, malah ada yang berkebolehan sebagai Tok Dalang,” katanya.

Ramai antara Cina Peranakan masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri. Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan hektar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanaman padi dan buah salak.

Sumber: Berita Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.